Bagi Ruang SPRM Siasat Bapa Adun DAP – Azalina

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan ‘rasuah hartanah’ membabitkan bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bapa Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim masih tidak bersalah sehingga dibuktikan.

“Biarlah badan berkaitan atau SPRM jalankan siasatan. Saya selalu katakan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Kalau pihak berkuasa nak dakwa seseorang itu pun, dia masih tidak bersalah sehingga dibuktikan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta pada Khamis.

Tambah menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang itu, setiap individu termasuk bapa Lim, Lim Keat Seong mempunyai hak untuk membela diri jika wujud pendakwaan terhadapnya.

“Semua orang boleh buat dakwaan. Tapi orang itu juga ada hak untuk membela diri. Kita ada sistem mahkamah yang begitu adil,” katanya.

SPRM telah memulakan siasatan berhubung tindakan Kiat Seong, 68, dan beberapa individu lain yang didakwa mengatur pemilikan hartanah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang sejurus menerima maklumat di laman sosial.

Ia susulan pendedahan rakaman video klip berdurasi 5.21 minit yang menjadi viral di laman sosial, berhubung perbualan Kiat Seong bersama dua lelaki sedang membuat rundingan, dipercayai berhubung pemilikan hartanah sebuah pangsapuri kos rendah di Sungai Pinang. – Mstar