BAGI DAP, ANWAR ATAU DR MAHATHIR PILIHAN SUKAR CALON PM

INI yang membuatkan memilih sama ada Anwar Ibrahim atau Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pembangkang, rumit.

Kedua-duanya sukar diterima masyarakat umum yang sudah muak dengan politik, terutama jika dilihat pada pencapaian mereka sebagai bekas orang kuat Umno dan kerana apa yang pernah mereka cakap dan buat, beberapa dekad lalu.

Tetapi, kedua-duanya membawa nilai besar kepada Pakatan Harapan (PH), gabungan DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.

Dilema ini yang menjadi fokus perbincangan dalaman kepimpinan DAP ketika PKR dan Bersatu dilihat tidak sehaluan dalam menentukan siapa yang akan menjadi calon perdana menteri PH.
Walaupun secara rasmi DAP kekal memilih Anwar – bekas ketua pembangkang yang kini dipenjarakan, sesetengah pemimpinnya memberitahu The Malaysian Insight yang Bersatu mempunyai asas kuat untuk mendapatkan jawatan itu.

Parti majoriti Melayu dan rakan kongsi termuda dalam PH itu mahu sama ada pengerusinya, Dr Mahathir atau presidennya Muhyiddin Yassin, menjadi wajah dalam usaha gabungan itu menewaskan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).

Perbincangan antara PH pada masa ini menemui jalan buntu kerana PKR dan Bersatu masih belum mencapai kompromi mengenai pilihan mereka. Majlis presiden gabungan itu dijangka bermesyuarat sekali lagi dalam masa terdekat.

DAP sendiri tidak mempunyai kepentingan sebenar dalam permainan itu kerana ia tidak menjangka mana-mana pemimpin kanannya dipilih sebagai perdana menteri atau timbalan perdana menteri bagi gabungan itu.

Tetapi ia bimbang bagaimana hendak meyakinkan penyokongnya, yang membentuk 80% pengundi bukan Islam di negara ini, untuk menyokong salah satu daripada calon itu.

Pro dan kontra

Masalah dengan Anwar ialah dia dalam penjara dan idea mempunyai pemanas kerusi sementara menunggunya bebas dari penjara, tidak begitu meyakinkan pengundi, kata pemimpin kanan DAP yang enggan namanya disiarkan.

Ini merujuk kepada temu bual Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Al Jazeera pada 12 Mei di mana beliau berkata tidak kisah menjadi pemanas kerusi untuk Anwar.

Anwar pada masa ini menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat, satu pertuduhan yang didakwa PH sebagai didorong oleh politik. PKR merancang membebaskannya dan menjadikan Anwar perdana menteri menerusi pengampunan diraja.

“PKR patut kekal dengan pendirian itu sebaik saja kita dipilih, Anwar akan dibebaskan untuk menjadi PM. Iaitu Anwar ialah PM,” kata pemimpin DAP itu.

Tetapi Anwar masih calon pilihan DAP kerana bekas timbalan perdana menteri diterima oleh kebanyakan pengundi bukan Melayu dan kerana beliau membina reputasi sebagai pemimpin Islam yang progresif dan inklusif.

Sebaliknya, Dr Mahathir dan Muhyiddin dilihat lebih sukar diterima penyokong DAP, kata seorang lagi sumber dalaman DAP.

Dr Mahathir sukar dicalonkan kerana akar nasionalis Melayunya, kata sumber itu.

“Muhyiddin, lagi sukar diterima golongan bukan Islam. Orang ingat bagaimana dia kata dia Melayu dulu dan rakyat Malaysia kedua,” kata pemimpin DAP itu merujuk kepada kenyataan Muhyiddin pada 2010 yang dibuatnya ketika beliau masih timbalan presiden Umno.

Memerlukan satu sama lain

Sisi lainnya ialah Dr Mahathir dan Bersatu dapat menarik golongan Melayu luar bandar untuk PH, di mana pada 2013 mereka beramai-ramai mengundi untuk BN.

Analisis menunjukkan undi Melayu luar bandar ialah apa yang PH perlukan untuk menang jika ia mahu mendapat kuasa persekutuan kerana PH sudah pun memperoleh hampir semua sokongan pengundi kawasan bandar dan pinggir bandar.

Dr Mahathir dilihat sebagai pemancar sejak beliau keluar Umno dan memulakan kempennya untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak kerana tuduhan rasuah dan penipuan berkaitan dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.

Kempen Selamatkan Malaysia dijalankan oleh Dr Mahathir senada dengan perjuangan reformasi Anwar pada 1998 dengan mesej untuk menyingkirkan perdana menteri.

“Bermula dengan Deklarasi Rakyat pada Disember 2014, Dr Mahathir memulakan gerakan besar-besaran yang berjaya mendapatkan banyak sokongan Melayu,” kata seorang lagi pemimpin DAP.

Negarawan berusia 92 tahun itu mampu menarik masyarakat luar bandar, peneroka Felda dan ahli biasa Umno untuk mendengar mesej PH, dalam cara yang Anwar dan bekas sekutu PKR iaitu PAS tidak mampu lakukan.

Dr Mahathir mencipta momentum baharu untuk gabungan itu selepas ia melalui perpisahan menyakitkan dengan sekutu lama, PAS.

Bersatu juga yang bekerja keras untuk menghilangkan ketakutan dicipta Umno dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar terhadap DAP, kata seorang pemimpin DAP.

“Jadi bagi Bersatu, mereka kata kami ada orang berpengalaman dalam kerajaan untuk jadi perdana menteri dan kami ada tarikan yang PH perlukan untuk Melayu luar bandar.

“Jadi mereka kata mengapa tidak pilih orang kami jadi perdana menteri?,” katanya.

Dan akhirnya, pemimpin DAP yang ditemui The Malaysian Insight percaya mereka perlu memberi ruang kepada PKR dan Bersatu berhujah supaya mereka dapat mencapai kata sepakat.

“Di penghujungnya, semua orang akan sedar yang PH perlukan Bersatu dan Bersatu perlukan PH. Cuma, ini hanya proses dalam PH,” kata DAP.

“Kami tahu masyarakat kecewa kerana kami dilihat seperti sentiasa bergaduh. Tetapi ini proses dalam PH.

“Ia bukan seperti BN, di mana abang besar tentukan semua. Di PH, kami ada demokrasi sebenar,” katanya.

Mungkin pandangan terbaik ialah daripada Presiden Amanah Mohamed Sabu.

“Daripada kita bincang tentang siapa nak jadi PM, lebih baik kita tumpu buat kerja untuk membela rakyat.

“Kita perlu bebaskan rakyat Malaysia daripada terus diperintah rejim kleptokrasi,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.