BAGAIMANA ZAHID TAHU MENTERI YANG AZMIN MAKSUDKAN ITU ANIFAH AMAN?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memecah kebuntuan dengan mengesahkan bahawa menteri yang didakwa mahu meletakkan jawatan sebagaimana yang ditanyakan oleh Azmin Ali melalui laman Twitternya semalam ialah Menteri Luar Negeri, Anifah Aman.

Saya tahu status laman sosial Azmin itu merujuk kepada Anifah Aman, kata Zahid.

Bagaimanapun Zahid menafikan berita perletakan jawatan Anifah itu dan menyifatkan ia sebagai suatu pembohongan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, beliau ada bersama Anifah di Kota Kinabalu malam tadi  sebelum Menteri Luar itu berangkat ke Brussels, Belgium hari ini atas tugasan rasmi.

Persoalannya, bagaimana Zahid Hamidi tahu tweet Azmin itu merujuk kepada Anifah sedangkan nama Menteri Luar itu tidak disebut sama-sekali?

Apa yang dibangkitkan oleh Azmin hanyalah sekadar pertanyaan yang kemudian disusuli dengan kenyataannya kepada media bahawa maklumat itu diperolehinya daripada menteri berkenaan.

“Tunggu dan lihat, maklumat itu datang daripada orang yang berkenaan.

“Kita akan umumkan,” kata Azmin lewat malam tadi.

Mungkin tidak begitu menghairankan jika Zahid sekadar menolak ada mana-mana menteri yang mahu meletakkan jawatan, tetapi apabila beliau tanpa keraguan mengesahkan maksud tweet yang ditulis Azmin itu ditujukan kepada Anifah, ia tentu menghairankan.

Oleh kerana Zahid bersama dengan Anifah malam tadi, kebarangkaliannya ialah beliau mengetahui tweet Azmin itu dimaksudkan kepada Anifah kerana ia diberitahu sendiri oleh Menteri Luar itu.

Kemungkinan lain, ialah Azmin sendiri memberitahunya kepada Zahid. Tetapi, ia sangat mustahil boleh berlaku.

Dalam hal ini, dua persoalan yang timbul ialah sama ada Zahid bertanya kepada Anifah mengenai perletakan jawatan yang kemudian dinafikannya atau turut bertanya adakah pada bila-bila masa Anifah ada bertemu dengan Azmin mengadu tentang hasratnya mahu meletakkan jawatan?

Jika Zahid mengetahui maksud tweet Azmin itu kerana diberitahu oleh Anifah, ia dengan sendirinya mengesahkan Anifah memang ada bertemu Azmin dan mengesahkan juga memang benar beliau pernah meluahkan hasrat mahu meletakkan jawatannya.

Maka, tidak benarlah Azmin berbohong, sebaliknya Anifahlah yang telah membuat U-Turn.

Anifah pula, bagaimana beliau boleh mengesahkan kepada Zahid bahawa tweet Azmin itu berkaitan dirinya jika tidak pernah bertemu dan meluahkah hasrat mahu meletakkan jawatan kepada Menteri Besar Selangor?

Persoalan lain ialah kenapa sehingga ini Anifah sendiri tidak menafikan mengenai perletakan jawatannya atau sama ada pernah atau tidak beliau bertemu Azmin untuk menyampaikan hasrat perletakan jawatan tersebut?

Mengapa Zahid saja yang bercakap bagi pihak dirinya? 

Kenyataan Zahid pula secara tidak langsung mengesahkan adanya menteri yang tidak puas hati dengan Najib dan ingin meletakkan jawatannya.

Sementara itu, sambil mempertahankan tweetnya semalam, Azmin hari ini memberitahu bahawa beliau tidak boleh mendedahkan nama menteri berkenaan kerana menghormati perbincangan sulit antara mereka.

Selain itu, tambah beliau, jika nama menteri terbabit didedahkan, individu berkenaan juga akan berhadapan ugutan dan tekanan. 

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.