BAGAIMANA AGAKNYA JIKA NANYANG DAP YANG PUNYA?

Bersikap pemaaf dan sedia memaafkan memang tindakan terpuji dan itulah yang selalu diajar, ditanam dalam hati serta didendangkan ke telinga kita sejak kecil lagi.
Kemudian kita turut diberitahu, Tuhan pun amat pemaaf dan Nabi Muhammad SAW juga demikian sifat terpujinya.
Lalu, sebagai manusia dan sesama manusia, tidak ada kita sebab kita tidak boleh menjadi pemaaf dan memaafkan orang lain.
Dengan demikian, apabila Hadi Awang mengajak mengajak umat Islam memaafkan akhbar Nanyang Siang Pau kerana menyiarkan kartun monyet baru-baru ini, beliau setidak-tidaknya masih ada sifat terpuji yang diajar Tuhan dan Nabi.
Kenyataan Hadi adalah susulan Kementerian Dalam  Negeri sendiri memaafkan kesalahan akhbar yang menjadi milik MCA itu dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya.
“Saya dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya memaafkan pihak akhbar berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan.
“Semoga dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat,” tegas Hadi lagi.
Alhamdulillah….
Cuma, dalam Hadi bersikap begitu pemaaf kepada Nanyang yang menjadi milik MCA, bagaimana agaknya jika akhbar tersebut merupakan milik DAP?
Adakah sikap pemaaf beliau masih sama juga?
Dalam masa yang sama, jika Hadi boleh memaafkan akhbar Nanyang yang mempersenda Akta 355 dengan menyiarkan kartun monyet, mengapa mereka yang seagama yang menjadi musuh politiknya digelar dengan pelbagai panggilan – daripada kafir, taghut, assabiyah, munafik, biawak, syaitan besar dan syaitan kecil, barua dan macam-macam lagi?
Kenapa beliau tidak bersikap pemaaf kepada mereka, sebaliknya suka melabel dengan panggilan-panggilan yang kasar serta meloyakan?
Mengapa dengan akhbar milik MCA saja Hadi begitu tebal sikap pemaafnya dan seolah-olah menampakkan begitu murni jiwa dan hatinya, tetapi tidak kepada pihak-pihak yang lain?
Bukankah jika dengan semua orang tanpa memilih bulu, Hadi bersikap pemaaf, sudi memaafkan serta tidak memanggil orang lain dengan panggilan yang kasar, Islam itu terlihat begitu indah dan dapat menyejukkan ruang-ruang kalbu?
ShahbudinHusin