BADAN PEMIKIR S’GOR DAKWA NAJIB PM PALING TAK POPULAR

Sebuah badan pemikir kerajaan Selangor mendakwa hasil tinjauan menunjukkan Datuk Seri Najib Razak adalah perdana menteri paling tidak popular dalam sejarah negara.

Menurut Institut Darul Ehsan (IDE), hanya 19 peratus daripada 2,018 responden yang merupakan pengundi Selangor percaya kepimpinan Najib akan meningkatkan sokongan kepada BN.

Timbalan Pengerusi IDE, Mohammad Redzuan Othman berkata dalam kaji selidik pada tahun lalu, 29 peratus daripada responden mengiyakan ketika ditanya sama ada kepimpinan Najib akan menyaksikan BN mempertahankan Putrajaya.

Berdasarkan penurunan angka ini, beliau berkata: “Ini menunjukkan betapa Najib adalah perdana menteri yang paling tidak popular dalam sejarah Malaysia.”

Redzuan berkata demikian kepada pemberita di Shah Alam selepas menyampaikan kajian terkini IDE bertajuk “Isu dan Persepsi rakyat Selangor Terhadap Kajiselidik Pilihan Raya Umum ke-14”, yang telah dijalankan dari 8 Februari hingga 13 Februari.

Mohammad Redzuan juga menggariskan perbezaan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad dan Najib.
Berhubung soalan bahawa kepimpinan Najib meningkatkan sokongan kepada BN, beliau berkata responden daripada semua kaum memberikan  jawapan negatif.

Pada satu lagi soalan terhadap responden, Redzuan berkata 43 peratus daripada mereka tidak bersetuju apabila ditanya sama ada “tindakan undang-undang tidak boleh diambil terhadap Malaysian Official 1 (MO1) kerana ia hanya propaganda”.

– M’kini

.