BADAN PEGUAM KESAL HANYA KETUA HAKIM BERUCAP ESOK

Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese menyifatkan perubahan format untuk hanya membenarkan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menyampaikan ucapannya pada Pembukaan Tahun Perundangan esok, sebagai membingungkan.

Varughese dalam ucapannya di majlis makan malam Majlis Peguam sempena Tahun Perundangan itu berkata acara di Putrajaya atau Kuala Lumpur itu sentiasa melibatkan tiga pihak iaitu mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Badan Peguam Malaysia.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2010, selalunya, sebagai tambahan kepada ucapan dari CJ (ketua hakim) pada Tahun Perundangan, juga termasuk ucapan dari peguam negara atau wakilnya dan ucapan dari Presiden Badan Peguam Malaysia, sebagai rakan kongsi yang sama dalam pentadbiran keadilan.

“Presiden Badan Peguam Malaysia secara tradisinya menggunakan kesempatan ini untuk merenungkan peristiwa penting berkaitan dengan kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan yang telah berlaku sepanjang tahun sebelumnya dan untuk berbicara tentang visi dan aspirasi Badan Peguam untuk Tahun Perundangan yang baru,” katanya.

Bagaimanapun, Varughese berkata pada tahun ini, Badan Peguam Malaysia dimaklumkan bahawa pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan esok, hanya ketua hakim negara akan memberikan ucapan.

“Perubahan format ini – dari tiga ucapan kepada satu ucapan mengurangkan penglibatan dan peranan Badan Peguam dalam Tahun Perundangan. Sekiranya kami mengambil bahagian, kami akan menjadi lebih kecil daripada tetamu yang dijemput.

“Ini membingungkan Badan Peguam dan menimbulkan persoalan sama ada perubahan dalam format itu adalah hasil daripada kebimbangan mengenai apa yang Badan Peguam akan katakan.

“Badan Peguam Malaysia sentiasa bertindak dan bercakap tanpa rasa takut dan apabila diminta untuk bercakap, kami akan berusaha untuk mengatakan apa yang perlu dikatakan,” tambahnya.

Katanya berikutan perubahan dalam format tersebut, Majlis Peguam membuat keputusan untuk menolak undangan untuk terlibat dalam Tahun Perundangan 2018.

“Kami telah memberitahu mahkamah atas keputusan kami dan menyampaikan harapan kami bahawa format Tahun Perundangan tahun depan tahun akan termasuk ucapan oleh AG atau wakilnya, dan Presiden Badan Peguam Malaysia,” kata Varughese.

– M’kini

.