AZWAN BRO CETUS KONTROVERSI

NAIB Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun didakwa hanya mahu mencari populariti dengan mengeluarkan kenyataan berbentuk kontroversi.

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong berpendapat, mana-mana pemimpin BN termasuk Khairul Azwan tidak sepatutnya mencari politik murahan semata-mata untuk kepentingan peribadi.

“Mungkin beliau (Khairul Azwan) mahu menjadi Ketua Pemuda Umno. Semua orang tahu beliau tidak pernah bertanding dalam PRU. Sebab itulah, beliau cuba mencari populariti agar orang lain boleh kenali beliau,” kata Tee Yong seperti dilaporkan dalam China Press.

Khairul Azwan yang mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara semalam, menjadi tokoh kontroversi dalam Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro dikatakan telah mengeluarkan kenyataan keras bahawa akan wujud desakan dan tekanan kuat seperti meminta kerajaan mengurangkan tumpuan kepada sekolah aliran Cina.

Malah katanya, sudah wujud tuntutan supaya sekolah berkenaan dihapuskan dan ia dibuat bukan saja dalam kalangan orang politik, malah kumpulan profesional serta ahli akademik.

– http://www.sinarharian.com.my/politik/azwan-bro-cetus-kontroversi-1.596004

.