AZMIN TUNTUT KPN TANGKAP, EKSTRADISI JHO LOW

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis tuntutan kepada Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar agar menangkap dan mengekstradisi Low Taek Jho ke Malaysia.

Peguam Azmin, Latheefa Koya berkata surat itu dihantar semalam kepada Khalid bagi memaksa beliau mendapatkan bantuan Interpol mengenai perkara itu.

“KPN mempunyai 14 hari membalas surat itu sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Azmin menghantar surat ini berdasarkan faktor yang Low disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah kod jenayah.

“KPN perlu mengambil tindakan tetapi saya percaya setakat ini tidak ada apa dilakukan untuk membawanya pulang,” katanya di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Latheefa berkata Malaysia adalah sebahagian daripada Interpol dan mempunyai cawangan pejabat di sini. Justeru, mereka seharusnya bekerjasama mengeluarkan nota merah terhadap Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Peguam N. Surendran berkata jika KPN tidak mematuhinya, Azmin akan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah.

“Justeru, KPN perlu mengambil semua langkah yang perlu untuk membawa Low ke muka keadilan termasuk mendapatkan bantuan Interpol,” katanya.

Low disyaki melakukan beberapa kesalahan jenayah mengikut undang-undang Malaysia, termasuk kesalahan mengikut Seksyen 120B, 406 dan 409 Kanun Keseksaan, yang mana membabitkan konspirasi jenayah, pecah amanah jenayah dan pecah amanah jenayah oleh ejen atau penjawat awam.

Dia turut disyaki melakukan jenayah berhubung dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Low, yang sehingga kini dipercayai bersembunyi, mempunyai kaitan rapat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menyaksikan berbilion ringgit dana disalahguna  individu tertentu.

Beliau bagaimanapun menafikan semua dakwaan terhadapnya.

Para pemimpin pembangkang sebelum ini mencabar kerajaan membatalkan pasport Low bagi memaksanya kembali ke Malaysia untuk menjawab dakwaan yang dibuat.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri berkata, Malaysia boleh menarik kewarganegaraan Low jika benar beliau mempunyai dua kerakyatan.

Dalam saman terbaru DoJ mengatakan kira-kira AS$700 juta (RM2.99 bilion) daripada pinjaman Bank Deutsche bernilai AS$975 juta kepada 1MDB digunakan Low untuk membeli barang kemas mewah untuk model Australia, Miranda Kerr.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.