AZMIN TERIMA KEPUTUSAN HARAPAN, TAPI…

Salah seorang pemimpin PKR yang menyokong supaya rundingan denan PAS diadakan berkata, beliau akur dengan ketetapan dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 29 Ogos lalu.

Datuk Seri Azmin Ali bagaimanapun berkata beliau masih bebas untuk bercakap dengan sesiapa saja.

“Saya boleh bercakap dengan sesiapa. Malam tadi (Selasa) saya bercakap dengan (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi. Semalam (kelmarin) saya cakap dengan perdana menteri,” katanya seperti dipetik portal FMT hari ini.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata fokus utama parti itu ialah memperkuatkan jentera untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Azmin ditemui selepas menghadiri sambutan hari kemerdekaan peringkat Selangor di Shah Alam.

Pendirian sebahagian pemimpin PKR cuba memujuk PAS untuk bersama pembangkang lain menghadapi BN pada PRU14 mencetuskan rasa kurang senang kebanyakan pihak, termasuk dalam parti itu sendiri.

Pada masa sama PAS dilihat terus bertegas – dan sesekali mengeluarkan kenyataan lantang – enggan menerima PKR.

Ekoran itu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyarankan parti itu mengadakan kongres khas bagi mencari keputusan muktamad berhubung hubungan mereka dengan PAS.

Majlis Presiden HARAPAN pula pada 29 Ogos lalu bermesyuarat sebelum mengeluarkan ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS.

Mereka juga menyebut HARAPAN sedang merangka strategi untuk menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Bagaimanapun Azmin tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Ditanya mengenai ketiadaannya menteri besar Selangor itu memberitahu beliau mempunyai tugasan lain.

– M’kini

.