AZMIN: TANGKAPAN ANAK SAUDARA SAYA ‘PERTUNJUKAN’ SEBELUM PAU

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini berkata penahanan anak saudaranya semalam atas dakwaan rasuah adalah usaha merendahkan kerajaan negeri, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2017.

“Saya tidak mahu buat tuduhan tapi saya merasakan dalam kes ini ada usaha macam konspirasi politik.   Kerana sebelum dia ditahan, blogger Umno sudah mengeluarkan maklumat ini lebih awal daripada tindakan SPRM.

“Saya rasakan ada usaha untuk merosakkan dan menjatuhkan kerajaan negeri. Saya lihat mereka mahu buat ‘showcase’ sebelum perhimpunan.

“Jadi saya tidak mahu tindakan politik mempengaruhi SPRM. Saya menyerahkan kepada SPRM,” katanya selepas melancarkan Festival Halal Selangor di Bangi, malam ini.

Azmin berkata beliau mengalu-alukan siasatan yang telus dan profesional.

Awal hari ini anak saudara lelaki Azmin dan tiga individu lagi direman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terbabit dalam aktiviti perlombongan haram.

SPRM turut membekukan akaun mereka dan syarikat sebanyak RM4 juta.

Blog Sabahkini2.com mendakwa Azmin memberikan kontrak melombong pasir dan beberapa projek lain kepada anak saudaranya.

Azmin menafikan tuduhan itu.

“Pertama sekali dakwaan itu tidak betul (pemberian kontrak). Di bawah dasar kerajaan negeri, jika ada permohonan untuk aktiviti pasir, ia akan diuruskan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

“Semua tender dijalankan oleh kumpulan itu. Saya bukan ahli lembaga pengarah Kumpulan Semesta. Saya tidak terlibat dalam urusan dan saya yakin Kumpulan Semesta mempunyai integriti yang tinggi untuk memastikan proses itu berjalan dengan telus,” katanya.

Azmin berkata Selangor berjaya mengadakan penjimatan RM400 juta pada 2016 dengan proses tender terbuka dan telus.

“Kalau kita lihat hasil perlombongan pasir juga jauh meningkat berbanding pentadbiran Pakatan Rakyat sebelum 2008 dan ini membuktikan kita cukup telus,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.