AZMIN SALAK SALAH TEMPAT, KATA NAZRI

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz tidak mahu mengulas keputusan sebuah hotel milik kerajaan yang membatalkan tempahan PKR Perak untuk mengadakan mesyuarat tertutup di sebuah dewannya.

Sebaliknya, Nazri berkata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, perlu menyoal Pengerusi Hotel Seri Malaysia dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir.

“Azmin menyalak salah tempat. Hotel itu bawah MOF (Kementerian Kewangan).

“Pengerusi dia (Datuk Seri) Aziz Sheikh Fadzir, jadi tanya dia la,” kata Nazri kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Azmin menuntut jawapan daripada menteri itu berhubung tempahan dewan di Hotel Seri Malaysia, cawangan Ipoh.

Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamahari berkata, mereka hanya dimaklumkan oleh pihak hotel mengenai pembatalan berkenaan pada malam semalam dan mendakwa terdapat tekanan politik di sebalik keputusan itu.

Mesyuarat tertutup itu kemudian terpaksa dipindahkan ke ibu pejabat PKR Perak.

Malaysiakini telah menghubungi Aziz untuk ulasannya.

– M’kini

.