AZMIN: PENGAGIHAN KERUSI BERDASARKAN FAKTOR BOLEH MENANG

SHAH ALAM – PKR akan mempertimbangkan memberi kerusinya kepada Amanah dan Bersatu berdasarkan faktor ‘boleh menang’ kata timbalan presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, apabila PKR pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada 1999, parti itu tidak mempunyai kerusi tetapi DAP dan Pas baik hati memberikan beberapa kerusi untuk PKR bertanding.

“Prinsip saya jelas, PRU14 masa untuk PKR mempertimbangkan beberapa kerusi untuk rakan baharu dalam pakatan iaitu Amanah dan Bersatu,” kata beliau kepada pemberita selepas berucap pada forum Dialog Malaysia Baharu anjuran pakatan pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di sini hari ini.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor berkata, faktor “boleh menang” ialah aspek penting yang perlu dipertimbangkan dalam pengagihan kerusi di Selangor.

“Selain pengagihan kerusi, kita juga perlu mengambil kira faktor “boleh menang” untuk calon parti. Jika seseorang itu dilihat mampu untuk meraih sokongan di kawasan tertentu, sudah tentu kita akan meletakkan orang itu bertanding atas tiket Pakatan.

“Lagipun, kita mahu menang sebagai Pakatan, bukan secara individu,” kata beliau.

– Bernama

.