AZMIN ‘MINAT’ KERUSI PEKAN, BUKAN AMPANG

Datuk Seri Azmin Ali menafikan beliau sedang mengintai kerusi parlimen Ampang untuk ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menteri Besar Selangor itu sebaliknya secara berjenaka menyatakan kerusi pilihannya – Pekan.

“Saya dah sebut hari tu, saya tak minat dengan (kerusi) Ampang.

“Kalau perlu saya beralih, saya minat dengan Pekan,” katanya dilaporkan Sinar Online.

Sebuah portal pernah mendakwa Azmin mungkin berpindah daripada kerusi yang diwakilinya ketika ini – Gombak – ke Ampang.

Antara lain, penganalisis percaya, ia disebabkan kedudukan hubungan semasa antara PKR dan PAS. Pada PRU ke-13 lebih empat tahun lalu, Azmin mengalahkan dua calon lain di Gombak dengan majoriti 4,734 undi.

Azmin mengumpul 54,827 undi berbanding Rahman Ismail (BN) yang mendapat 50,093 undi. Calon bebas Said Nazar Abu Baker pula hanya mendapat 474 undi.

Sebahagian daripada kemenangan Azmin disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS.

Kerusi Ampang pula satu daripada kawasan selamat untuk PKR. Kini diwakili Zuraida Kamaruddin, kerusi berkenaan dimenangi ketua wanita PRK itu dengan kelebihan undi sebanyak 13,278 pada PRU lalu.

Pekan pula kini diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memenanginya dengan undi majoriti sebanyak 35,613 pada PRU ke-13. Najib mengalahkan calon PKR, Mohd Fariz Musa.
Bagaimanapun untuk rekod pada 1999 kedudukan Najib sangat goyang di Pekan apabila beliau memenangi kerusi berkenaan dengan hanya 241 undi.

Pada PRU ke-10 itu Najib mengalahkan calon PAS, Ramli Mohamed. Najib mendapat 13,148 undi manakala lawannya 12,907 undi.

Selain menjadi anggota parlimen Gombak, Azmin juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

– M’kini

.