AZMIN MAHU SAMAN UTUSAN SALAH LAPOR KENYATAAN PESTA ARAK

MENTERI Besar Selangor Azmin Ali mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana memutar belit dan memfitnah kenyataan beliau berhubung penganjuran pesta arak yang dibatalkan di Kuala Lumpur dalam laporan muka hadapannya hari ini.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong berkata laporan dengan tajuk “Azmin benarkan pesta arak” itu palsu dan menunjukkan Utusan terus jadi penyambung lidah Umno untuk terus berbohong dan mengelirukan rakyat.

“Kami cabar Utusan Malaysia untuk kemukakan bukti beliau (Azmin) ada berkata begitu,” kata Yin dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin turut mendesak akhbar itu menarik kembali laporan tersebut, membuat permohonan maaf secara terbuka serta ganti rugi.

“Menteri besar sebelum ini menyatakan, semua keputusan perkara ini (pesta arak) di bawah pihak berkuasa tempatan yang harus mematuhi peraturan dan syarat relevan digariskan oleh undang-undang.

“Beliau (Azmin) tidak akan membuat keputusan mendahului pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini.

“Pendirian kerajaan negeri (Selangor) ialah sebagai kerajaan bertanggungjawab, ia bukan saja perlu menghormati hak kaum lain bahkan harus mempertahankan hak mereka; itu polisi kerajaan negeri,” kata pegawainya itu.

Utusan hari ini melaporkan kerajaan PKR Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak “Better Beer Festival 2017” mahu diadakan di Selangor selepas pesta itu tidak dibenarkan diadakan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Utusan turut melaporkan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dan NGO lain menyelar Azmin berikutan laporan itu.

Sallehen mendakwa keharmonian beragama bermaksud menolak pesta arak kerana ia ditegah semua agama di Selangor.

“Kristian, Buddha apatah lagi Islam semuanya menolak arak. Kita tak halang kaum lain minum arak tetapi jangan buat pesta kerana ia mencabar dan tidak menghormati agama lain,” katanya dilaporkan Utusan.

Azmin kini dalam lawatan kerja bersama kerajaan Selangor di India.

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta berkenaan atas sebab keselamatan selain ia bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Pesta arak itu sepatutnya diadakan pada 6 dan 7 Oktober di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza dari 43 kilang arak dari seluruh dunia.

Keputusan itu bagaimanapun dibantah beberapa wakil rakyat DAP yang mendakwa ia bersikap tidak adil. Bagaimanapun MCA menyokong pembatalannya atas sebab keselamatan.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.