AZMIN ‘KURANG BUDI BICARA’

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan sebagai ‘kurang budi bicara’ kerana masih enggan mengurangkan caj premium tanah bagi  pembinaan balai bomba dan penyelamat (BBP) di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan Mohamed Azmin yang kononnya patuh pada pekeliling kerajaan negeri berkaitan hal itu dilihat tidak relevan kerana pembinaan projek itu adalah untuk kepentingan awam.

Beliau berkata sebagai badan eksekutif, menteri besar itu sepatutnya faham kegunaan kuasa budi bicara dalam meminda sebarang pekeliling termasuk untuk mengurangkan caj premium tanah di negeri ini bagi sebarang tujuan bermanfaat kepada rakyat.
Jelas Noh, walaupun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai tanah  tersendiri  namun tidak kesemunya sesuai dibina BBP, malah jabatan itu pula tidak mempunyai lot tanah di dua kawasan terbabit yang kini semakin pesat dengan pembangunan projek perumahan.

“Mengapa, jika untuk keperluan rakyat seperti ini, menteri besar (Mohamed Azmin) mahu ikut pekeliling  tapi rayuan syarikat swasta untuk kurangkan caj premium tanah bagi tujuan tersendiri diluluskan pula.

Sikap seperti ini menunjukkan Mohamed Azmin hanya guna budi bicara jika ada kepentingan politik atau kepentingan untuk kerajaan negeri saja,” katanya kepada pemberita selepas jamuan Aidilfitri anjuran Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor, di sini hari ini.

Menurut Noh, caj premium tanah berjumlah RM5 juta bagi BBP Setia Alam dan RM2.4 juta (BBP Bukit Rahman Putra) seperti yang ditetapkan kerajaan negeri adalah terlalu tinggi sedangkan kos pembangunan kedua-dua kemudahan awam itu hanya menelan belanja sekitar RM5 juta sahaja.

Beliau turut menepis dakwaan Mohamed Azmin yang mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak  mempunyai peruntukan untuk pembinaan dua BBP itu sedangkan kesemua keperluan berkaitan telah diluluskan malah tapak tanah juga disediakan pemaju kawasan berkenaan.

Namun, katanya, usaha berkepentingan rakyat itu masih tergendala akibat caj premium tanah yang tinggi dikenakan kerajaan negeri Selangor.

“Apa salah bagi 50 peratus diskaun (untuk caj premium tanah), semua sudah tersedia cuma tunggu dilaksana sahaja. Menteri besar konon mahu ikut buku (pekeliling), masakan tidak tahu beza antara undang-undang, pekeliling dan kuasa budi bicara,” katanya.

– Bernama

.