Isu itu dibangkitkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini selepas Mohamed Azmin semalam dilaporkan mengeluarkan kenya­taan bahawa jumlah tawaran RM2.975 bi­lion tersebut sebenar­nya telah dibuat kepada Splash semasa pentadbiran negeri sebelum ini menerusi dua surat rasmi bertarikh 25 Jun dan 19 Julai 2009.

Sebaliknya Abdul Khalid menjelaskan, dakwaan yang dibuat Mohamed Azmin itu tidak benar dan tidak wujud sama sekali ke­­rana kerajaan ne­geri menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah menerima cadangan untuk mengambil alih aset serta ekuiti empat syarikat konsesi air di Sela­ngor iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Splash dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

Menurutnya, kaedah peni­laian yang digunakan untuk setiap kumpulan adalah berbeza dan atas sebab itulah nilai tawaran setiap syarikat turut berlainan.

“Dalam tawaran terakhir, kami telah menggunakan kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan pulang­an 12 peratus setahun serta potongan mana-mana dividen yang telah dibayar. Kami merasakan ini adalah adil memandangkan terma tersebut telah dinyatakan dalam Perjanjian Penswastaan yang di­tan­datangani semua syarikat kon­sesi industri perkhidmatan air termasuk Splash.

“Namun, kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.975 bilion bagi bayaran ekuiti Splash seperti didakwa Menteri Besar Selangor. Walaupun kami menggunakan beberapa ka­edah penilaian yang berlainan, nilai ekuiti tidak banyak berbeza,” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Tambah Abdul Kha­lid, dalam tawaran ter­akhir kerajaan ne­ge­ri kepada Splash di bawah rancangan penstrukturan industri itu adalah sebanyak RM250.6 juta meliputi bayaran ekuiti serta tanggungan hutang berjumlah RM1.564 bilion.

Namun Abdul Kha­­­lid menjelaskan, Splash bagaimanapun mempertikaikan tawaran kerajaan negeri berdasarkan pulangan ekuiti 12 peratus semasa pentadbirannya.

“Pada hakikatnya Splash telah membayar RM725.4 juta kepada pemegang sahamnya sebagai dividen manakala Syabas tidak pernah menge­luarkan dividen. Ini­­­lah sebab utama me­ngapa nilai pembayaran ekuiti antara kedua-dua syarikat itu sa­ngat berbeza,” tegasnya yang turut menyatakan semua keputusan berkaitan penstrukturan industri bekalan air di Selangor telah dibentangkan kepada Majlis Mesyua­rat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Malah ujarnya, tawaran kerajaan negeri itu juga dimaklumkan kepada Bursa Malaysia dan pihak berkuasa terlibat kerana melibatkan beberapa syarikat yang tersenarai dalam terbitan awam.

Semalam, Mohamed Azmin menerusi laporan www.freemalaysiatoday.com mendakwa Abdul Khalid berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan Splash.

Malah, Mohamed Azmin turut mendakwa nilai tawaran pengambilalihan Splash terdahulu juga tidak dimaklumkan dalam MMKN, selain menegaskan ia bertentangan dengan amalan dipraktikkan dalam pentadbiran negeri.

UTUSAN

.