AZMIN DAN RAFIZI TAK HADIR, PKR MEMBISU ISU KERJASAMA PAKATAN-PAS

DUA watak utama isu kerjasama PKR-PAS, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli tidak hadir pada mesyuarat biro politik parti hari ini.

Mesyuarat saat akhir itu dilakukan selepas Naib Presiden Rafizi Ramli mendesak satu kongres khas diadakan untuk memberi peluang kepada ahli PKR memutuskan sama ada PKR perlu bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selepas dua jam, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil keluar daripada bilik mesyuarat dengan satu kenyataan bertulis Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Biro Politik PKR hari ini telah mengadakan mesyuarat mingguan dan telah membuat ketetapan bahawa PKR komited kepada usaha memperkukuh Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan Umno-BN pada PRU14,” kata kenyataan itu.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas itu enggan mengulas mengenai isu Pakatan Harapan menolak kerjasama dengan PAS yang diputuskan semalam.

Kenyataan saya sudah dibacakan (Fahmi). Malam ini saya nak tengok bola. Selamat maju jaya pasukan Malaysia. Malaysia akan menang,” katanya yang enggan mengulas pertanyaan wartawan.

PKR terutamanya Menteri Besar Selangor Azmin Ali dikatakan mahu terus mengadakan kerjasama dengan PAS di Selangor bagi mengelak pertandingan tiga penjuru walaupun parti Islam itu sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR Mei lepas.

Bagaimanapun tindakan itu tidak memberi kesan kepada Selangor kerana PAS mahu terus kekal dalam kerajaan bagi menghormati “mandat pengundi”.

Pagi tadi, PH mengumumkan yang mereka tidak akan bekerjasama dengan PASpada PRU14. Azmin juga tidak hadir pada Mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi.

“PH tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU14. PH sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14,” kata kenyatan bersama ditandatangani Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Sementara itu, ketika perhatian bertumpu padanya, Azmin sebaliknya mengeluarkan satu kenyataan berkaitan Sukan SEA.

Ahli Parlimen Gombak itu mengucapkan syabas kepada atlet negara, khususnya atlet dari Selangor yang menyumbangkan 31 pingat emas.

“Dalam setiap pertandingan pasti ada menang dan ada yang kalah, namun yang penting adalah semangat kesukanan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran yang ditempuhi.

“Pencapaian gemilang atlet Selangor adalah hasil program pembangunan sukan kerajaan negeri Selangor yang berteraskan konsep 2I iaitu ‘Incorporate’ dan ‘Integrate’ bagi mencungkil bakat baharu bermula dari peringkat persekolahan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.