AZMIN ATAU BUKAN, PAS TETAP LAWAN

PAS Selangor bertekad untuk merampas semula kerusi parlimen Shah Alam walaupun ia mungkin ditandingi menteri besar Datuk Seri Azmin Ali.

Seorang pemimpin PAS berkata, Shah Alam adalah kerusi tradisional parti mereka sebelum “dibawa lari” oleh pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menyatakan laporan mendakwa Azmin akan bertanding di Shah Alam tidak mengubah persediaan parti terbabit untuk merampas kerusi berkenaan.

“Jadi mana (kerusi) yang memang dimenangi PAS sebelum ini sudah tentu kami akan bertanding lagi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Shah Alam adalah kerusi parlimen dengan majoriti pengundinya Melayu. Sebelum ini ia memang menjadi milik BN sehinggalah pada 2008 apabila ia dimenangi PAS melalui Khalid Samad.

Khalid dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 itu mengetepikan penyandang Datuk Abdul Aziz Shamsuddin dengan perbezaan 9,314 undi.

Pada PRU ke-13 Khalid sekali lagi memenangi kerusi berkenaan, kali ini dengan kelebihan undi lebih besar iaitu 10,939 undi untuk mengalahkan calon BN Zulkifli Nordin.

Pada PRU ke-11 (2004) Abdul Aziz mengalahkan Khalid dengan majoriti 13,410 undi.

Khalid kini menjadi pengarah komunikasi AMANAH ekoran penyingkiran beramai-ramai sebahagian pemimpin PAS semasa muktamar parti itu pada 2015.

Untuk rekod pada PRU ke-12 dan ke-13 PAS memenangi banyak kerusi di seluruh negara – termasuk di Shah Alam – ketika parti itu mengadakan kerjasama dengan PKR serta DAP.

Senarai sudah lengkap

Bagaimanapun selepas 2013 hubungan PAS dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat mula renggang sehingga akhirnya mereka memutuskan hubungan dengan kedua-dua parti terbabit.

PAS kini membentuk pakatan sendiri dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang dipimpin bekas menteri Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Di peringkat Selangor PAS masih kekal dalam kerajaan negeri di sebalik kedudukan mereka tidak mempunyai kerjasama politik dengan PKR, DAP dan AMANAH.

Mengikut daftar pemilih pada 2013, Shah Alam mempunyai 99,957 orang pengyndi dengan 69 peratus daripadanya adalah Melayu, 15 peratus Cina dan 14 peratus India.

Roslan yang juga bekas setiausaha akhbar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata persiapan mereka untuk bertanding di Shah Alam dibuat sebelum Azmin dikhabarkan akan bertanding di situ.

Katanya Abdul Hadi sendiri akan melancarkan jentera pilihan raya PAS Selangor pada 21 Jan ini.

“Azmin atau siapa pun yang diletakkan sebagai calon di Shah Alam tidak akan menjadi faktor (untuk PAS mengubah keputusan berkenaan).

“PAS sudah ada senarai lengkap calon yang akan bertanding di Selangor termasuk di kalangan profesional dan berkelayakan,” katanya dipetik akhbar itu.

– M’kini

.