AZIZAH: DEDAH LAPORAN 1MDB SEBELUM NAJIB KE WHITE HOUSE

SEDANG Perdana Menteri Najib Razak bersiap-siap untuk lawatannya ke White House Selasa depan, pembangkang telah menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibuat Ketua Audit Negara.

“Sekiranya tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, kerajaan Umno-BN perlu menerbitkan laporan siasatan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebelum Dato’ Seri Najib berangkat ke Amerika Syarikat (AS),” kata Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan Najib ke AS menandakan ulangtahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia-AS. Najib dijadualkan bertemu Presiden AS Donald Trump di White House.

“Terdapat spekulasi berlegar di fikiran rakyat Malaysia tentang mengapa pertemuan ini dibuat sekarang.

“Apakah ia merupakan satu usaha untuk menutup siasatan kes Jabatan Kehakiman (DoJ) AS ke atas penyelewengan wang rakyat dari 1MDB, yang didakwa dibuat oleh beberapa individu yang rapat dengan ‘Malaysian Official 1’ (MO1),” kata Dr Wan Azizah.

Beliau berkata apabila laporan itu tidak diterbitkan maka pertemuan Najib-Trump itu akan kelihatan seperti “membersihkan nama MO1”.

MO1 adalah penjawat awam berpangkat tinggi yang DoJ namakan didalam saman sivilnya sebagai benefisiari yang didakwa memalsukan dana 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan dalam temubual bersama BBC pada September tahun lalu mengakui Najib adalah MO1.

DoJ telah memulakan siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa diseleweng dari 1MDB dan telah mencuba untuk menangguhkan saman sivil yang difailkan dalam tempoh dua tahun untuk merampas hartanah dan aset-aset lain bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.3 bilion).

Semalam, ahli Parlimen DAP Tony Pua berkata, cubaan Najib untuk mengadakan perjanjian dengan kerajaan Amerika Syarikat berhubung siasatan 1MDB akan menjadi sia-sia.

“Ia akan jadi sia-sia kerana kebebasan institusi AS,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

“Alasan sebenar untuk bercakap dengan Trump adalah untuk menarik balik kes 1MDB di AS, jadi beliau mahu menutup kes dan beliau tidak mahu tindakan susulan,” tambahnya.

“Malangnya, tidak seperti Najib, Trump tidak mempunyai kuasa di AS, beliau mungkin orang yang paling berkuasa di dunia, tetapi Amerika merupakan sebuah negara yang memiliki undang-undang di mana institusinya bebas.”

The Wall Street Journal menggesa White House untuk membatalkan pertemuan dengan Najib di kediaman presiden.

“Apa sahaja yang memalukan adalah lebih baik daripada memberikan pemimpin yang tercemar dengan skandal ke White House,” katanya menerusi ruangan editorialnya semalam.

Malah akhbar harian perniagaan negara itu turut mempersoalkan kebijaksanaan Setiausaha AS Rex Tillerson, yang mengadakan lawatan ke Malaysia beberapa bulan lalu, kerana cuba bekerjasama dengan Najib yang di siasat oleh DoJ.

– https://www.themalaysianinsight.com

.