AZIZAH: BERSATU, PAKATAN HARAPAN LEBIH ‘PADU’ BERSAMA

SHAH ALAM – Kesediaan parti Bersatu menyertai Pakatan Harapan dilihat akan menjadi sebuah kesatuan politik yang padu, progresif serta ampuh yang boleh membela nasib dan menegakkan hak rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan tidak lama lagi akan memperkukuh kesatuan politik yang sedia ada.

“Ini amat penting bukan sahaja demi menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tetapi juga dalam usaha membina Malaysia baru yang kita impikan bersama.

“Saya akan berbincang dengan pimpinan parti-parti Pakatan Harapan mengenai usaha dan langkah untuk memperkukuhkan kesatuan politik ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam pertemuan itu nanti, pimpinan utama Bersatu turut akan di undang untuk duduk bersama dan membincangkan strategi kesatuan politik yang akan menjayakan usaha menyelamatkan Malaysia dari rejim kleptokrasi yang ada sekarang.

“Kesatuan politik Pakatan Harapan ini dibina atas semangat perjuangan reformasi dan nilai-nilai demokrasi. Perjuangan reformasi demi menyelamatkan Malaysia adalah perjuangan Pakatan Harapan.

“Nilai-nilai demokrasi dan permuafakatan adalah nilai yang diangkat dan dipegang teguh oleh Pakatan Harapan,” ujarnya.

Tambahnya, dengan pelbagai pengalaman dilalui bersama di dalam perjalanan permuafakatan politik parti-parti pembangkang, banyak kejayaan telah diraih.

– SH

.