AZAM 2018: NURUL IZZAH PERDANA MENTERI MALAYSIA

Mengundi akan menjadi sesuatu yang sangat cool dalam PRU kali ini.

Malah, mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menjadikan awak lebih cool.

Lagipun mengundi BN terlalu mainstream.

Instagram awak akan bertambah followers selepas awak upload gambar jari terpalit dakwat hitam selepas mengundi HARAPAN.

Dan jika BN menang sekali lagi, percayalah yang Malaysia tidak akan rasa seronok mana pun lepas tu.

Awak yang muda-muda pasti akan berputus asa dengan agenda ‘meneruskan kemajuan’ yang dikhutbahkan BN.

Cool itu akan tiba-tiba hilang.

Maka, untuk menjadikan momen mengundi lebih cool lagi, turunlah mengundi dengan berhajat menjadikan wanita muda sebagai perdana menteri pertama dalam Malaysia!

Pilihan orang muda

Setelah Pakatan Harapan semacam buntu menentukan siapakah perdana menteri dari kerajaan HARAPAN, saya kira mencadangkan Nurul Izzah sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Najib tidaklah mengarut sangat.

Kita mesti segera sedar, tentu ada puncanya mengapa lebih 3.7 juta anak muda yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sedikit pun tidak berahi dengan politik hari ini.

Boleh jadi ini disebabkan mereka hanya ditawarkan muka-muka lama sebagai calon perdana menteri untuk memerintah Malaysia (baca: mereka).

Semangat nak turun mengundi pun jadi mati.

Dunia politik hari ini sudah berevolusi kepada pimpinan muda. Walaupun Najib tidaklah sampai nak mengangkat Khairy Jamaludin menggantikannya semata-mata untuk mengambil hati orang muda, tetapi kalau ia benar-benar berlaku, bungkuslah HARAPAN.

Jika kita mahu anak-anak muda ini berani membuat perubahan, kitalah yang mesti memulakannya dahulu.

Mungkin langkah pertama adalah dengan memasyhurkan seorang calon perdana menteri yang
muda malah bakal menjadi wanita pertama memegang jawatan itu di Malaysia!

Mengenang budi Anwar

Ia bukanlah alasan paling bijak untuk mencadangkan Nurul Izzah dengan niat menghargai budi dan pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi ia mungkin alasan paling jujur yang boleh diberikan.
Di saat semua; penyokong tegar dari zaman Reformasi, simpatisan Anwar dan pembenci Tun Dr Mahathir Mohamad bertelagah sesama sendiri andai Dr Mahathir dipilih semula, tidakkah mencadangkan Nurul Izzah sebagai PM boleh menyejukkan sedikit hati mereka?

Itu belum masuk lagi kisah dendam pada Dr Mahathir yang digelar ‘Mahafiraun’ dalam dekad yang lepas.

Beliau yang tunduk memohon maaf ala pemerintah Jepun pun dipersoal keikhlasannya, inikan pula melantiknya semula menjadi PM?

Mahu disuruh beliau melutut pula selepas ini!

Mengubah permainan

Sebenarnya, HARAPAN boleh menentukan bagaimana pertarungan PRU ini dijalankan.

BN dengan Najib-nya dan HARAPAN dengan Dr Mahathir-nya. Tidakkah kita hanya bertarung mengikut rentak yang mereka tentukan?

Dengan mencadangkan nama seperti Nurul Izzah sebagai PM, dengan sendirinya kita boleh menentukan bagaimana corak pertandingan ini dijalankan.

Maka apabila kita berani mencalonkan muka baru seperti beliau, pengundi muda yang berjuta-juta yang sedang memerhati apa sedang kita buat, pasti akan terkesan.

Najib akan terperangkap, HARAPAN pula menang moral untuk pusingan pertama.

Mustahil Najib tiba-tiba memilih KJ di saat itu. Jika ya, beliau pastinya sudah terikut-ikut dengan rentak perlawanan yang kita tentukan.

Pengundi muda akan mula menilai keberanian kita. Hajat dan doa orang muda bagai dimakbul dari langit.

Seni peperangan ini pasti memenangkan HARAPAN.

Strategi radikal ini bukanlah mahu mengenepikan Anwar. Semua orang tahu undang-undang menghalang beliau untuk menjadi PM – seperti yang dirancang pada awalnya.

Anwar yang terpenjara dan idea untuk membebaskan beliau jika HARAPAN berjaya ke Putrajaya acap kali dipertikai, malah mengundang reaksi pelbagai termasuk yang negatif.

Ada dakwaan mengatakan HARAPAN akan menghalalkan apa sahaja cara demi memenuhi impian menjadikan Anwar Ibrahim sebagai PM.

Dakwaan ini tidak boleh diambil ringan kerana kita sedang berdepan sejumlah pengundi muda yang tidak mudah berpuas hati dan tidak juga mudah menelan apa sahaja yang dihidangkan.

Malah dengan memperuntukkan pelbagai syarat jika Dr Mahathir dijadikan PM sementara, ia tambah mengusutkan keadaan.

Ia tampak tidak meyakinkan orang muda dan dilihat mempunyai risikonya yang tersendiri.

Tulisan ini cuba meyakinkan yang Nurul Izzah akan mengurangkan risiko ini.

Meyakini orang muda

Nurul Izzah tentunya akan dibantu oleh mereka yang berpengalaman dalam Kabinetnya.

Semangat Reformasi yang mengikat perjuangannya dan pemimpin lain akan membentuk pasukan terbaik mendepani 100 hari pertama HARAPAN di Putrajaya.

Nama-nama seperti Lim Guan Eng, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sudah pasti boleh berkongsi pengalaman mereka mentadbir.

Dr Mahathir pun takkan nak duduk tengok saja.

Melawan Najib dan menumbangkan BN di Putrajaya sudah menjadi kerja sepenuh masanya sekarang.

Jika HARAPAN mahukan seorang perdana menteri yang sementara sifatnya bagi menunggu Anwar dalam penjara, Nurul Izzah pastinya calon yang paling cocok.

Malah, jika jalannya betul, rancangan ini menjadi dan Anwar berjaya dibebaskan, Nurul Izzah pastinya tidak akan teragak-agak melepaskan jawatan untuk bapanya sebagaimana yang sekalian rakyat dambakan.

Nurul Izzah pasti tidak akan diragui kesanggupannya. Lagipun, beliau kan puteri Reformasi!

NOR MISWARY RAMLI adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya.

– M’kini

.