Azalina: Tuntutan Husam, Matthias berniat jahat

KUALA LUMPUR – Keputusan Matthias Chang dan Datuk Husam Musa menggugurkan ‘Class Action’ terhadap syarikat-syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan bahawa dakwaan mereka tidak bermerit dan tidak berasas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perbuatan Husam yang juga bekas naib presiden Pas dan Matthias selaku setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad adalah berniat jahat serta mahu meraih publisiti murahan selain menyalahgunakan proses mahkamah.

“Kedua-dua mereka bukan sahaja cuba memalukan Malaysia malah, tindakan mereka boleh dilihat sebagai kurang faham akan prosedur mahkamah dan keperluan asas bagi pemfailan ‘Class Action’.

“Tindakan mereka juga dilakukan atas tujuan politik dan mereka terburu-buru di dalam perkara ini semata-mata untuk mendapat publisiti dengan menyalahgunakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Husam, di dalam kenyataannya bertarikh 24 September lepas, menarik balik saman itu bagi menyesuaikannya berikutan beberapa perkembangan terkini, adalah tidak dapat diterima.

Beliau berkata secara umum, permulaan ‘Class Action’ akan ditentukan berdasarkan kepada empat prasyarat yang ketat mengikut Peraturan 23(a) Prosedur Sivil Peraturan Persekutuan Amerika Syarikat (FRCP-USA).

Husam dan Matthias memfailkan saman bersama itu terhadap 1MDB, Goldman Sachs, penerbit filem Riza Aziz dan syarikatnya Red Granite Pictures.

Saman itu dikatakan diketepikan pada tengah hari Jumaat tetapi tiada alasan diberi tentang penolakannya. – Bernama

.