AZALINA: TAK SETUJU BOLEH PERGI MAHKAMAH

Pihak yang merasakan lanjutan perkhidmatan Tan Sri Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara bertentangan perlembagaan boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

Dalam kenyataan, Azalina berhujah pelantikan hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bukan perkara baru kerana pernah dibuat pada tahun 2016 dan 1965.

Tahun lalu ,katanya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa dilantik semula untuk dua tahun dan begitu juga pada 1965 yang melibatkan bekas hakim Tan Sri S Chelvasingan Macintyre.

“Perlembagaan Persekutuan juga tidak menghalang untuk mana-mana hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan yang dilantik untuk terus menyandang sesuatu jawatan,” katanya.

Badan Peguam Malaysia pada 8 Julai mengumumkan akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman yang dianggap mereka “terang-terangan menyalahi perlembagaan”.

Ia membabitkan pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.
Md Raus dan Zulkefli berdepan persaraan wajib mengikut perlembagaan akhir tahun ini iaitu pada usia 66 tahun enam bulan.

Bagaimanapun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan membenarkan pelantikan hakim tambahan yang tidak dikekang oleh batasan usia, dan atas cadangan ketua hakim negara.

Sementara itu, Azlina juga berharap semua pihak berhenti mempolemikkan itu itu dan membenarkan mereka terus “memartabatkan badan kehakiman negara”.

Menteri juga berharap lantikan itu dihormati kerana telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

– M’kini

.