AZALINA SANGKAL SPR KURANGKAN PENOLONG DAFTAR PEMILIH

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyangkal kenyataan anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengurangkan penolong pendaftar pemilih (PPP) kepada hanya 205 orang.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak tepat, Azalina berkata jumlah sebenar PPP sehingga 30 Sept lalu adalah sebanyak 14,342 orang.

“Jumlah tersebut adalah termasuk PPP daripada pelbagai kategori yang meliputi PPP (Wakil Jabatan Kerajaan), PPP (Wakil Pertubuhan) dan PPP (Wakil Universiti) di seluruh negara.

“Bagaimanapun, jumlah yang dipetik anggota Parlimen Kulai hanya tertumpu kepada PPP Wakil Pertubuhan sahaja,” jelas Azalina dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Teo dilaporkan berkata Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 25 Okt lalu menyatakan hanya terdapat 205 PPP di seluruh negara dan anggota Parlimen Kulai itu mendakwa bahawa kekurangan PPP itu adalah salah satu punca kegagalan SPR mendaftarkan pengundi baharu di negara ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata kenyataan Teo itu mengelirukan rakyat dan tidak bertanggungjawab sambil menjelaskan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan SPR untuk menarik lebih ramai warganegara yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih.

“Ini termasuklah menyediakan kemudahan karavan SPR, program outreach di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli belah, pusat rekreasi, kawasan penempatan penduduk, institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan berkaitan.

“SPR juga sentiasa terbuka menerima jemputan untuk menyediakan kaunter pendaftaran pemilih bagi penganjuran berkaitan,” katanya.

— Bernama

.