Azalina: Draf Kerangka Undang-Undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak Akan Dibentang Ke Kabinet

KUALA LUMPUR – Draf kerangka undang-undang mengenai jenayah seks terhadap kanak-kanak akan dibentangkan ke Kabinet sebelum dikemukkan ke Jabatan Peguam Negara bagi tujuan merangka akta berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan draf kerangka undang-undang yang telah siap itu telah dibentangkan kepada semua anggota Pasukan Petugas Mengenai Jenayah Seksual pada mesyuarat di sini, Selasa.

“Draf kerangka undang-undang yang dicadangkan ini akan mengandungi peruntukan mengenai pelbagai jenayah seksual terhadap kanak-kanak seperti pornografi kanak-kanak dan dandanan kanak-kanak dalam talian dan di luar talian,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Azalina berkata, pasukan petugas itu, yang diketuai beliau telah menjalankan kajian perbandingan mengenai kerangka undang-undang antarabangsa untuk memastikan bahawa kerangka undang-undang berkenaan adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan memenuhi keperluan semasa.
“Dalam usaha untuk bersaing dengan perkembangan amalan perundangan antarabangsa terkini, bahagian yang dicadangkan ke atas penyalahgunaan kedudukan amanah akan dimasukkan ke dalam kerangka ini,” katanya.

Azalina berkata, peruntukan khas mengenai kebolehterimaan bukti dengar cakap dalam prosiding jenayah di mahkamah juga akan dimasukkan ke dalam undang- undang yang dicadangkan kerangka undang-undang berkenaan.

“Akta baharu yang dicadangkan itu adalah untuk memastikan Akta yang holistik dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Input daripada pihak berkepentingan dan badan bukan kerajaan akan terus dikumpulkan bertujuan memastikan kerajaan berhasrat untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak akan tercapai,” katanya.

Azalina berkata, bagi memastikan pendakwaan berkesan terhadap pelaku, pendekatan menyeluruh perlu diambil dalam melaksanakan akta berkenaan.

Pertimbangan akan diberikan kepada kaedah memberi keterangan yang sudah lapuk yang menjadi penghalang kepada kejayaan pendakwaan dan tempoh masa yang panjang dalam menjalankan pendakwaan, katanya.

“Diakui juga bahawa bahawa pengkhususan diperlukan dalam kalangan pendakwa, hakim dan majistret dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Antara yang hadir pada mesyuarat hari ini ialah wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita.

– Bernama

.