AZALINA: BERSIH MANIPULASI ORANG RAMAI

KUALA LUMPUR – Bersih adalah sebuah gerakan politik pembangkang yang menyamar sebagai sebuah “masyarakat sivil” untuk memanipulasi orang ramai, kata seorang pemimpin kerajaan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Merujuk kepada perhimpunan haram yang diadakan Bersih di ibu negara ketika ini, beliau berkata walaupun pergerakan itu, yang dilancarkan pada 2006, telah mengadakan pelbagai perhimpunan sebelum ini, namun ia tidak mencapai sebarang hasil atau mewujudkan perubahan besar dari segi politik atau dasar awam.

“Malah, mereka telah menyimpang daripada objektif asal. Keghairahan mereka untuk menganjurkan protes jalanan secara besar-besaran sebagai sebahagian daripada pameran politik mereka, mencetuskan perhimpunan balas yang boleh menyebabkan timbulnya kacau-bilau,” kata beliau dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa sebarang perasaan tidak puas hati perlulah disuarakan melalui saluran sewajarnya.

Beliau berkata, perbuatan mana-mana pihak untuk cuba menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokratik melalui protes jalanan adalah bercanggah dengan undang-undang dan mereka sepatutnya berbuat demikian melalui pilihan raya umum.

Azalina menegaskan bahawa sebarang gabungan atau pergerakan tidak sepatutnya menyalahguna hak asasi seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta hak untuk mengadakan perhimpunan secara aman dan tanpa menggunakan senjata mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Walaupun Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman melindungi hak untuk berhimpun secara aman, hak itu tidak bersifat mutlak dan terdapat had yang perlu dipatuhi demi memelihara masyarakat demokratik, keselamatan negara, keselamatan orang ramai, mencegah berlaku keadaan huru-hara serta jenayah dan untuk melindungi hak serta kebebasan orang lain,” katanya.

Beliau juga membidas pemimpin pembangkang di sebalik Bersih, yang beliau sifatkan sebagai golongan terdesak yang pernah bermusuhan, tetapi kini bekerjasama demi kepentingan peribadi, bukan untuk membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

“Sekiranya mereka benar-benar mempedulikan tentang kebajikan rakyat, mereka tidak akan melanggar undang-undang Malaysia dan menyebabkan berlaku huru-hara di ibu negara kita, yang memberi kesan negatif terhadap perniagaan serta orang ramai yang ingin menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa,” katanya.

– Bernama

.