AZALINA: BEKAS HAKIM, KELUARGA MANGSA ISA TAK LUPA APA DR M PERNAH BUAT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan pembangkang sebagai tidak berprinsip kerana bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dulu mereka anggap sebagai kuku besi.

Azalina berkata demikian sebagai menyentuh berkenaan pemecatan bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan penggunaan ISA ke atas pemimpin pembangkang ketika era Mahathir.

“Mungkin pembangkang boleh berpura-pura melupakan apa yang pernah Mahathir lakukan, namun saya pasti ini bukan realitinya terutama kepada bekas-bekas hakim-hakim yang terlibat dan ahli-ahli keluarga mangsa tahanan ISA.

“Segala kenyataan dan kata-kata yang diungkapkan oleh Mahathir pada hari ini termasuk ucapannya ketika perhimpunan agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) boleh disifatkan sebagai retorik politik semata-mata hanya untuk kembali berkuasa atas kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Awal hari ini, Mahathir menyatakan kesanggupan bersumpah dengan al-Quran bahawa beliau tidak pernah memberi arahan memecat Salleh pada 1988.

Menurut Mahathir, peguam negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman menggunakan namanya untuk memecat Salleh demi menjaga nama baik Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Sementara itu, Azalina mempersoalkan tindakan Dr Mahathir yang mengambil masa 30 tahun untuk membersihkan namanya berkenaan isu pemecatan Salleh.

“Kenapa beliau mengambil masa begitu lama untuk membersihkan namanya? Kes itu telah berlaku 30 tahun dahulu.

“Adakah beliau juga akan bersumpah yang beliau tidak terlibat dalam Operasi Lalang 1987 dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga menyebabkan hampir 100 ahli politik ditahan?” soalnya.

Dalam kenyataan sama, Azalina mengingatkan berkenaan penulisan dan dakwaan skandal yang dikaitkan dengan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri termasuklah “Malaysian Meverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” yang ditulis Barry Wain.

“Namun, terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri dakwaan tersebut. Bagaimanapun, saya percaya rakyat boleh melihat bagaimana pentadbiran hari ini jauh lebih baik dan demokrasi lebih subur berbanding zaman pemerintahan Mahathir.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pada hari ini menghormati konsep kebebasan badan kehakiman dan melaksanakan pelbagai transformasi perundangan secara progresif untuk kepentingan rakyat.

“Pendekatan yang digunakan oleh perdana menteri juga berbeza dan berpegang kepada prinsip kesederhanaan dalam melaksanakan segala dasar serta polisi kerajaan demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 8 Ogos 1988, Salleh dipecat menerusi perbicaraan sebuah Tribunal yang terdiri daripada enam panel yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung.

Perlembagaan negara menjamin jawatan seseorang ketua hakim. Justeru, pemecatan itu sering dirujuk sebagai krisis kehakiman negara.

– M’kini

.