Awie Dakwa Bakal Isteri, Anak Turut Terkena Sihir

KUALA LUMPUR – Ketika menanti hari untuk bernikah, penyanyi Awie dihimpit ketakutan apabila penyakit misteri turut menyerang bakal isteri dan anak-anaknya.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, dia beranggapan penyakit itu berpunca daripada sihir manusia yang tidak senang melihat kebahagiaan dia sekeluarga.

“Kesakitan ini sering berlaku ketika saya hendak memulakan kerja dan ketika saya berada di rumah, kaki kanan saya nak pijak lantai pun sakit sehingga memaksa saya memakan ubat tahan sakit selama sebulan.

“Bila ke klinik doktor sahkan gout tetapi saya tak rasa begitu kerana tiada simptom-simptom gout seperti yang diberitahu doktor. Jadi saya tahu ia bukanlah sakit biasa tetapi ada kaitan dengan unsur-unsur mistik yang perlu dirawat melalui kaedah tertentu,” katanya kepada mStar Online.

Awie ditemui pada pada sidang media Konsert Wings 30 Tahun Live di Sabah yang diadakan di G Tower Hotel, di sini pada Selasa.

Awie bakal berkahwin dengan seorang wanita bernama Sharifah Ladyana pada Jumaat ini di satu lokasi yang dirahsiakan.

Menurut Awie, dia tidak kisah jika penyakit itu hanya terkena kepadanya namun ia turut terpalit kesannya kepada anak dan bakal isteri sehingga mereka mengalami muntah-muntah dan gatal-gatal badan.

Dalam pada itu, Awie berkata, dua pengamal perubatan yang dibawakan dari Indonesia mendapati ada unsur-unsur khianat di rumahnya apabila pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pasir kubur dan abu mayat yang dipercayai  ditaburkan di sekeliling rumah dia.

Dari kiri; Eddie, Joe, Awie dan Black.

“Lebih pelik, pernah terjadi rumah saya berbau bangkai yang sangat kuat terutamanya di bilik anak perempuan saya selain saya sendiri beberapa kali melihat kelibat yang menakutkan di dalam rumah sekalipun saya sendiri sudah berpindah ke rumah baru,” katanya.

Tambahnya lagi, antara kaedah rawatan yang dilaluinya kini dia serta anak-anak dan bakal isteri diberi minum air kelapa oleh pengamal perubatan sebelum mengalami muntah yang luar biasa selepas itu.

“Saya tak pasti berapa lama lagi kami akan melalui situasi getir ini tetapi selagi nyawa saya masih ada, saya tidak akan berputus asa untuk terus berubat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awie dan Wings akan mengadakan konsert di Sabah sempena meraikan 30 tahun pembabitan mereka dalam industri hiburan tanah air.

Penganjuran itu selepas kejayaan sambutan konsert yang sama di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan di Plaza Angsana Johor Bahru pada tahun lalu.

Konsert yang bakal berlangsung pada 24 Disember depan akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah di mana penyanyi Akim dan Aweera turut dijemput sebagai artis undangan.

Tiket-tiket boleh diperoleh pada harga RM50, RM250 dan RM1,000 dengan melayari www.tiketwings30thnkksabah.com dan

www.sayap2wings.com
selain di Facebook ‘Sayap-Sayap Wings’.

– mstar

.