AUTA DAN CACA-MARBA 1MDB

Jika diperhatikan daripada awal, 1MDB adalah syarikat milik kerajaan yang paling banyak melahirkan pengautaan, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab terhadapnya.
Syarikat bermodal RM2 pun tidak seperti itu dalam pengendaliannya.
Dalam kes melibatkan bon bernilai AS$3.5 bilion dan pertikaian berhubung bayaran yang tidak diterima daripada 1MDB sehingga IPIC memohon pengadilan ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa saja, sudah cukup untuk membuktikan wujud caca-marba dan ketidak-tentuannya.
Pada 25 Mei 2016, Najib Razak berkata, kerajaan tidak terikat dari segi undang-undang untuk mengambil balik bon-bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion itu.
Ini memandangkan tiada jaminan atau surat sokongan kerajaan ke atas bon-bon tersebut, jawabnya di Parlimen.
Tetapi, apa sudah jadi sekarang, mengapa kerajaan mengambil balik bon-bon itu beserta faedahnya sekali?
Jika tiada apa-apa ikatan dan berpegang kepada hakikat bahawa bayaran yang  dibuat sebelum itu adalah sah, untuk apa ia diambil balik serta bersetuju memikul tanggungjawab sambil membuat bayaran berganda?
Pada 2 Ogos 2016, Kementerian Kewangan melahirkan perasaan amat yakin bahawa 1MDB  akan memenangi kes timbangtara yang difailkan oleh IPIC kepada syarikat pelaburan kerajaan itu berhubung pertikaian pembayaran hutang.
Berdasarkan semua dokumen yang diberikan oleh 1MDB kepada saya, saya amat yakin dengan kemenangan 1MDB.
Sebab itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membayar faedah berkenaan…kita akan lawan dan menang kes itu, kata Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.
Rasanya, tak perlu disebut panjang-panjang lagi apa terjadi akhirnya dan apa bentuk penyelesaian yang dmaklumkan IPIC kepada Bursa Saham London, semalam.
Bak kata pelawak Nabil…lu fikir sendirilah.
Pada 31 Oktober 2016,  kerajaan juga mengatakan hutang 1MDB tiada kaitan dengan kerajaan.
Namun, seperti yang disebut sendiri oleh Johari, penyelesaian hutang dengan IPIC ini  dilakukan oleh sepenuhnya 1MDB dan pegawai-pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.
Untuk ada pegawai daripada pejabat Perdana Menteri terlibat dan siapakah mereka yang terlibat itu jika hutang-hutang 1MDB tidak melibatkan kerajaan?
Diselak lebih mendalam lagi, kita juga akan mendapati Najib sendiri pernah mengatakan bahawa Jho Low tidak terlibat serta tiada kaitan sama sekali dengan 1MDB.
Hakikatnya, bukan saja berdasarkan sebutan di mahkamah Singapura dan saman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, nama Jho Low terlihat amat aktif dan tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada 1MDB.
Bak kata Khairy Jamaluddin, cap jari Jho Low ada di mana-mana saja berkaitan 1MDB.
Lebih dari itu, Najib dan keluarganya juga pernah bercuti di atas kapal layar mewah bersama Jho Low dan beberapa yang lain.
Berkaitan dana 1MDB yang ditebus daripada akaun pesisir di Pulau Cayman untuk mengatasi masalah aliran tunainya, Najib dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada Mei 2015, bukan saja mengesahkan kembalinya wang  itu, malah mengatakan ia kini disimpan dalam bentuk tunai di bank Singapura.
Beberapa hari kemudian, pembetulan segera dilakukan dengan mengatakan ia sebenarnya disimpan dalam bentuk aset.
Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua yang ketika itu diberi peranan sebagai jurucakap 1MDB tidak berapa lama selepas itu mengatakan, ia sebenarnya adalah dalam bentuk unit.
Unit apa? Ia tetap misteri sehingga sekarang, tetapi apa yang berlaku Husni sendiri akhirnya meletakkan jawatan serta menyoal sendiri kerajaan di Parlimen berkaitan 1MDB yang memberi gambaran beliau tidak tahu langsung mengenai perjalanan syarikat itu.
Lebih dari itu, berkaitan dana yang mengalir masuk ke akaun peribadi Malaysian Official 1 sepertimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah berasal daripada dana 1MDB yang dilencongkan, jawapan Najib sendiri mengenainya amat berbelit-belit.
Mula-mula beliau menafikan, kemudian mahu menyaman WSJ yang didakwa memifitnahnya, selepas itu menepis lagi dengan mengatakan “kalau saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi”, tetapi  akhirnya dengan selamba mengaku memang ada wang berbilion ringgit dalam akaun banknya dengan menyatakan ia sebagai derma daripada kerabat  Diraja Arab Saudi.
Selain pihak di Arab Saudi sendiri tidak jelas dan berbeza kenyataan mengenai wang tersebut, kiranya benar Najib menerima wang tersebut sebagai derma, mengapa ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini, beliau tidak berani menyebut secara terbuka dalam ucapannya sambil mengucapkan terima kasih di hadapan Raja Arab Saudi itu atas derma yang diterimanya?
Bukankah, sebagai adat Melayu dan menghargai sesuatu pemberian, apatah lagi jumlahnya berbilion-bilion, seseorang itu  akan bangga untuk mengucapkan penghargaan secara terbuka?
Itulah hakikatnya berkaitan 1MDB, tidak ada syarikat lain yang begitu banyak auta dan caca-marba sepertinya. Selepas ini, pasti ada lagi auta, caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Hanya jika kalah pilihanraya dan hilang kuasa, barulah semuanya akan terhenti dan kebenaran akan mengambil tempatnya pula.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.