AUSTRALIA TAHAN SIRUL TANPA TEMPOH PASTI

Bekas anggota polis yang dituduh membunuh, Sirul Azhar Umar mungkin menghadapi penahanan tidak ditentukan tempohnya di Australia, yang akan menyebabkan jutaan dollar wang pembayar cukai di negara itu digunakan, menurut satu laporan.

Akhbar The Australian yang memetik sumber, berkata permohonan Sirul untuk mendapat visa perlindungan bagi membolehkannya dibebaskan dan tinggal di Australia, mungkin ditolak.

Laporan itu berkata Sirul telah secara rasmi dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia bahawa permohonannya mungkin ditolak kerana dia melakukan jenayah bukan politik sebelum memasuki negara ini pada bulan Oktober 2014.

Pihak berkuasa imigresen dikatakan memberitahu Sirul bahawa mereka telah menerima “maklumat tidak baik yang tidak menyokong permohonan anda (untuk mendapat visa perlindungan)”.

Sirul kini mempunyai masa sehingga 14 Ogos untuk menawarkan sebarang maklumat bagi berhujah mengenai pembebasannya.

Pada tahun 2009, Sirul dan rakannya, Azilah Hadri dituduh bersama-sama melakukan pembunuhan ke atas wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Kedua-dua anggota itu merupakan pengawal pengiring kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah Rayuan membebaskan mereka pada tahun 2013, namun Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan itu pada Januari 2015. Pada masa itu, Sirul telah melarikan diri daripada negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bulan lepas berkata Putrajaya belum merancang untuk mengekstradisi Sirul kerana tidak mempunyai ruang untuk berunding dengan pihak berkuasa Australia.

Dalam jawapan di parlimen, Zahid berkata Malaysia tidak dapat mengekstradisi Sirul kerana undang-undang Australia menghalang ekstradisi untuk tujuan hukuman mati.

– M’kini

.