ASRI TERUS PERTAHAN DIRI

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terus mempertahankan diri setelah mencetuskan kemarahan meluas, terutamanya penganut Hindu, susulan penyiaran sepotong puisi Jumaat lalu.

Di Facebook, beliau hari ini berkongsi berita berkaitan insiden keganasan terhadap sebuah keluarga Muslim di Kashmir, India, yang didakwa dilakukan kumpulan “pelindungan lembu” di negara itu.

Laporan media milik kerajaan Iran, PressTV itu antaranya menyebut dakwaan penglibatan kumpulan haluan kanan Hindu, walaupun polis tempatan hanya merujuk penyerang itu sebagai “samseng”.

“Bacalah nasib saudara seislam kita ataupun sekurang-kurangnya saudara kemanusiaan kita. Apakah binatang itu melebihi segalanya sehingga wanita dan anak-anak kecil menjadi mangsa.

“Apakah perkataan yang paling layak untuk digunakan dalam menggambarkan keadaan ini di negara India?”

“Kemudian, apakah wajar ada pertubuhan di Malaysia yang kesetiaannya di Negara India?” katanya tanpa menyebut secara khusus pihak itu.

Asri pada Jumaat lalu mencoret sepotong “puisi” di media sosial yang didakwa menghasut kebencian terhadap agama Hindu.

Tulisan itu antaranya menyatakan kemarahan terhadap pihak “mempertuhankan lembu” yang membelenggu “pendakwa kita”, yang dipercayai merujuk kepada kontroversi pendakwa Zakir Naik.

 

Asri bagaimanapun kemudiannya berkata beliau merujuk kepada pentadbiran Perdana Menteri India Narendra Modi dan bukan agama Hindu.

Katanya, Modi membiarkan Muslim dibunuh dengan kejam saban hari hanya kerana memakan daging lembu.

Selain mengundang laporan polis, Asri juga kini sedang berdepan kritikan pelbagai pihak, termasuk penganut Hindu, penyair dan aktivis yang tidak selesa dengan kehadiran puisi itu.

Isu Zakir kembali meledak selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan beliau memperoleh status penduduk tetap negara ini sejak lima tahun lalu.

Sekumpulan aktivis sebelum ini telah memfailkan saman bagi mengusir Zakir daripada negara ini. Beliau terkenal dengan kaedah perbandingan agama ketika menyampaikan ceramah.

MKINI