ASRI SOKONG HOTEL LARANG PEKERJA BERTUDUNG DIAMBIL TINDAKAN

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong penuh gesaan agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan.

Beliau mengulas sesetengah hotel di negara ini yang melarang wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

“Saya menyokong agar syarikat yang mendiskriminasi wanita bertudung diambil tindakan dan ditarik lesen perniagaan.

“Satu senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini harus disiarkan untuk pengetahuan awam. Umat Islam dan sesiapa yang peka pada hak asasi manusia mestilah memulaukan syarikat dan produk berkenaan,” katanya menerusi Facebook.

Larangan itu dibangkitkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini.

Mereka juga berkata larangan serupa turut dikenakan terhadap pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan praktikal.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata larangan seumpama itu tidak seharusnya berlaku di Malaysia di mana Islam adalah agama persekutuan.

“Umat Islam sendiri tidak bebas untuk mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedang hotel-hotel tersebut beroperasi dalam negara ini.

“Memakai tudung diketahui kewajipannya oleh umum. Larangan sekalipun hanya waktu mereka bertugas adalah tindakan yang boleh dilihat mencabar sensitiviti umat Islam,” katanya sambil menambah beliau tidak pernah melihat larangan serupa ketika berada di luar negara.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) semalam mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

Presidennya Cheah Swee Hee dilaporkan berkata, setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing, dan wanita yang bertudung masih boleh bekerja di hotel yang tidak mengamalkan dasar itu.

Nasruddin berkata, PAS akan mengusahakan pertemuan dengan MAH dan pihak lain yang terlibat bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Ini untuk menjelaskan perkara ini serta mengembalikan hak beramal dengan Islam kepada wanita muslimah yang bekerja di mana-mana sektor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan ‘dobi Muslim’ sahaja diskriminasi

Dalam pada itu, Nasruddin membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai kebisuan sesetengah pihak dalam isu ini, berbanding ketika isu ‘dobi Muslim sahaja’ meletus dua bulan lalu.

Ketika itu, katanya lagi, negara menjadi gegak gempita dengan reaksi dan ulasan pelbagai pihak.

“Malangnya tiada pembelaan wajar dari orang ramai terhadap wanita muslimah yang ingin mengamalkan tuntutan agama, tiada juga kecaman kepada mana-mana hotel yang menafikannya.

“Ia bukan sahaja memperlihatkan ‘double standard’, tetapi jelas mereka masih tersangkar dalam pengaruh Islamofobia meskipun mereka menafikannya,” katanya tanpa menyatakan dengan jelas pihak yang dimaksudkannya itu.

– M’kini

.