Askar Wataniah: Khairy, Ahmad Razif, Mohd Irwan Serigar Naik Pangkat

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Rabu mendahului pemakaian pangkat Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah di Wisma Pertahanan di sini.

Khairy yang juga Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral, yang mula berkuat kuasa 14 Jan 2015.

Turut dinaikkan pangkat Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman sebagai Brigadier Jeneral Kehormat dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Mejar Jeneral Kehormat.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Khairy merupakan menteri pertama dianugerahkan pangkat sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah selepas menyertai pelbagai kursus dianjurkan Askar Wataniah, selain ditauliahkan sebagai Komander Rejimen 508 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

Beliau menyertai Askar Wataniah pada 20 Jan 2010 sebelum ditauliah sebagai Kolonel pada 28 Oktober 2013.

Pernah mengikuti kursus Asas Perajurit Muda selama sebulan pada 26 April 2010 di Rejimen 508 dan Kursus Asas Payung Terjun pada 13 Jan 2011 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang di Melaka sebelum menjadi Komander Rejimen 508 pada 28 Okt 2013.

Mengulas penganugerahan itu, Khairy berharap lebih ramai golongan belia dan orang muda menyertai Askar Wataniah pada masa hadapan.

“Harapan saya agar lebih ramai lagi golongan belia dan orang muda akan menyertai Askar Wataniah…ia bukan satu perkara mudah, sebab latihan agak lasak dan sukar, namun saya percaya ini salah satu cara terbaik untuk membina disiplin dan menyumbang kepada negara,” katanya.

Mohd Irwan Serigar pula menyifatkan penganugerahan itu satu penghormatan besar kepada dirinya.

“Jika ada kursus ditawarkan, saya kalau boleh mahu mengikuti supaya kelihatan sihat kerana setiap pemimpin harus cergas, sihat minda dan sekiranya berlaku keperluan, kita perlu menjadi salah seorang anggota yang boleh menyelamatkan negara,” katanya.

MSTAR

.