Arul Kanda: ‘Juruaudit 1MDB tarik diri kerana tidak dapat siapkan audit’

Juruaudit 1MDB, Deloitte menarik diri kerana gagal menyiapkan laporan audit akaun firma pelaburan negara bagi tahun kewangan 2015, kata Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda memberitahu pelajar pada sesi town hall di Universiti Malaya di Kuala Lumpur malam tadi bahawa ini adalah kerana dokumen yang diperlukan telah dirampas oleh polis dalam satu serbuan pada Julai tahun lalu.

“Kita tidak boleh mengaudit akaun selepas rekod syarikat diambil oleh pihak polis semasa serbuan pada Julai 2015. Semua rekod syarikat telah diambil untuk siasatan lanjut.

“Jadi, walaupun semua akaun telah disediakan, juruaudit memerlukan dokumen syarikat untuk menjalankan audit. Tanpa dokumen itu, audit tidak dapat dijalankan.

“Jadi, Deloitte meminta dilepaskan daripada tugas itu kerana mereka tidak dapat menyiapkan audit selepas dua tahun, walaupun mereka adalah juruaudit,” kata Arul Kanda pada majlis tertutup mengenai 1MDB untuk pelajar.

Acara itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Multimedia dan Komunikasi dan adalah sebahagian daripada siri ‘Jelajah Kampus’ dan pameran bergerak JASA.

Rakaman video acara itu dimuat naik oleh Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaysia (Umany).

Malaysiakini juga memperolehi rakaman suara acara itu, walaupun penganjur menasihatkan para peserta supaya tidak membuat sebarang rakaman.

Mengulas lanjut Arul Kanda berkata, Deloitte hanya menarik diri daripada menjadi juruaudit bagi syarikat induk 1MDB, tetapi masih menjadi juruaudit bagi projek Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange milik firma pelaburan negara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pelajar mengapa juruaudit 1MDB seringkali diubah.

Arul menjelaskan bahawa apabila syarikat asal 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) ditubuhkan, Ernst dan Young (EY) dilantik sebagai juruaudit pertama.
Walau bagaimanapun, apabila TIA diambil alih oleh kerajaan persekutuan dan menjadi 1MDB pada Julai 2009, juruauditnya diubah kerana pemilikan syarikat juga telah berubah, katanya.

KMPG dilantik menggantikan EY, tanpa EY menandatangani sebarang laporan tahunan 1MDB.

– M’kini

.