ARUL KANDA BUKAN AHLI UMNO

Semalam gambar Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang kelihatan segak berbaju Melayu merah lengkap bersongkok dan bersamping di Pusat Dagangan Dunia Putra menjadi tular.

Ketika isu syarikat milik kerajaan itu masih terus hangat, kemunculan Arul Kanda menyebabkan sesetengah pihak menyangka beliau sudah menyertai Umno

Bagaimanapun seorang sumber menafikan perkara itu dan memberikan pencerahan kepada pihak yang membuat tanggapan sedemikian.

“Beliau hadir ke Perhimpunan Agung Umno semalam kerana memenuhi jemputan atas kapasiti ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Beliau hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama bos GLC lain,” kata sumber yang dekat dengan Arul Kanda.

Tambahnya antara yang turut hadir di PWTC memenuhi jemputan Umno ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Perhimpunan Agung Umno bermula secara rasmi semalam dengan ucapan dasar disampaikan presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Hari ini perwakilan bersidang lagi untuk hari kedua sebelum pertemuan tahunan itu menutup tirainya petang esok.

Kata sumber berkenaan perasmian Perhimpunan Agung Umno adalah majlis terbuka untuk semua parti komponen BN, pertubuhan bukan kerajaan, GLC dan tetamu asing.

“Malah Arul Kanda menghadiri perhimpunan tahunan itu sejak 2015,” katanya.

Ditanya mengapa Arul Kanda berbaju Melayu merah seperti perwakilan Umno, sumber berkenaan memberitahu, bos 1MDB itu mahu dilihat sama seperti anggota parti di PWTC itu.

“Arul Kanda ialah penyokong kerajaan semasa, tetapi beliau bukan anggota mana-mana parti dan tidak bercadang untuk berbuat begitu,” katanya.

Sementara itu Arul Kanda tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau.

– M’kini

.