‘ARORRA SALWA FEAT AHMAD MASLAN’ TROLL PALING LAKU

Satu juta tontonan, 130,000 komen dan 42,000 perkongsian.

Begitulah ‘kejayaan’ troll Internet Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) terhadap Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, setakat berita ini ditulis.

Dimuat naik pada 2 November lalu, laman sindiran di Facebook itu memuat naik video manipulasi memaparkan Ahmad seperti kebingungan apabila selebriti cantik Arorra Salwa menyanyikan lagunya.

“Pertama kali si aku malu-malu. Saat ku dekat ku ragu-ragu. Mungkinkah dia suka padaku?

“Ah, ah, Ahmad” begitu antara lirik lagu penyanyi yang kini mengunakan nama pentas baru, Salwa Razak.

Rakaman itu dipercayai disunting daripada video yang memaparkan Ahmad seperti mengelak soalan wartawan.

Dalam wawancara bertulis dengan Malaysiakini, TTKM mengakui video sindiran terhadap pemimpin Umno itu menjadi video paling popularnya setakat ini.

“Jika dari segi ‘virality’, video troll paling banyak ditonton adalah parodi Arorra feat Ahmad Maslan kebingungan, empat juta tontonan, diikuti dengan siaran langsung demo pro-Rohingya di kedutaan Myanmar, sejuta tontonan,” katanya.

Ahmad bagaimanapun menjelaskan beliau tidak menjawab soalan berkaitan kenaikan harga minyak kerana penentuan harga minyak masak dan petrol bukan bawah bidang kuasa kementeriannya.

Dalam video “Umno Online” di YouTube beliau menjelaskan video itu menunjukkan pembangkang tiada kerja.

“Dah tak ada isu nak bantai saya. jadi biarkanlah. Kadang-kadang kita perlu ada sikap hashtag begini: #adaakukisah,” katanya.

Rating bukan pengukur

Sementara itu, ingin kekal tidak dikenali, TTKM bagaimanapun berkata tidak pernah meletakkan rating sebagai justifikasi terhadap kejayaan sesebuah troll.

“Bagi kami, bila rakyat terbuka mata, bahawa ‘politaikus’ kebanyakannya tidak boleh dipercayai, dan mereka percaya pada kekuatan mereka sendiri dan bukan kerana ‘politaikus’, itu sudah satu kejayaan,” katanya yang mengaku bosan dengan politik tanah air.

Mereka berkata demikian ketika ditanya troll mana yang mereka rasakan paling berjaya.

Sementara itu, TTKM juga ditanya mereka impikan politik seperti mana, selepas menganggapnya membosankan.

“Anda tidak bosan? 24 jam seminggu celik sahaja mata melihat drama-drama politik tidak berkesudahan baik sebelum PRU (pilihan raya umum) atau selepas PRU, baik mana-mana pihak disajikan pada masyarakat,” katanya.

‘Seperti monyet dalam zoo’

Menurut mereka, negara lain juga berpolitik, berpilihan raya, berparlimen, tetapi tidak “sesarkas” Malaysia.

“Malah dewan rakyat juga sudah hilang maruahnya, apabila ahli parlimen berlagak saling tak tumpah seperti monyet di dalam zoo.

“Kami jangka tuan lebih arif sebab tuan terlibat secara langsung dalam mencari sumber-sumber untuk dibuat berita,” katanya.
TTKM menjelaskan mereka impikan politik yang rakyatnya bijak, kritis, celik politik dan tidak mudah diperkotakkatikkan ahli politik.

Bahagian 1: Alkisah ‘Raja Troll’ TTKM, ejek semua orang.

– M’kini

.