ARMADA PERSILAKAN PEMIMPIN BN… DI BAWAH PENTAS

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini turut menjemput anggota dan pemimpin BN ke program Nothing to Hide 2.0 yang dijadual di Shah Alam pada Ahad ini.

Pengarah program Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir malah turut menyebut beberapa nama secara khusus seperti exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifa, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Mohamad Rafi serta Ketua bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

image: https://i.malaysiakini.com/1140/2d98065ff2d6dd1068611fb0ccfc154f.jpeg

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada pimpinan Umno yang datang, mereka tidak dibenarkan duduk sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun dialu-alukan bertanya soalan.

“Kita tetap menjemput mana-mana ahli Umno, Armand ke, Razlan, Datuk Seri Jamal tapi bukan untuk duduk sepentas dengan Tun.

“Tapi mereka boleh tanya pelbagai soalan. Kalau ada soalan berkaitan Perwaja, Memali, Forex boleh tanya. Tun bersedia untuk menjawab semua pertanyaan diajukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat parti BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Pemuda BERSATU, yang dikenali sebagai ARMADA, bertujuan mempertemukan Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam acara itu.

Najib bagaimanapun tidak menunjukkan minat ke arah itu.

Selain itu, Ashraf yang juga adalah exco Armada memberitahu, sekiranya Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi yang sebelum ini menawarkan diri menggantikan Najib hadir, beliau turut akan diminta duduk bersama hadirin.

Katanya, pihaknya bukan mengamalkan politik berkasta tetapi isu sebenar berhubung program berkenaan adalah mengenai Mahathir dan perdana menteri.

“Macam Puad Zarkashi nak datang, dia tak perlu duduk sepentas dengan Tun. Bukan tak layak, sebab sebenarnya pasal dua orang (Mahathir dan Najib) ini.

image: https://i.malaysiakini.com/1140/d5192327ea57f9cb6368033a4dbd4444.jpeg

“Dia (Puad) tak perlu nak wakili. Kalau Najib tak datang tak apa. Kalau Puad datang dia boleh duduk bawah tanya soalan. Jangan pula Puad Zarkashi kata Armada amal politik kasta. Ini bukan politik kasta.

“Tun digelar top dog, anjing atasan. Tapi saya cakap, orang yang menyalak-nyalak ni street dog dan street dog ni tak macam top dog.

“Bukan politik kasta sebab persoalan yang jadi keraguan dan kerisauan rakyat yang timbul adalah mengenai dua orang ini saja. Jadi lebih baik individu itu sendiri yang jawab,” katanya lagi.

Menurut Ashraf, program berkenaan juga telah dimaklumkan kepada pihak polis.
Program Nothing to Hide akan diadakan pada 13 Ogos ini bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Ia akan bermula pada jam 3 petang dan dijangka berakhir pada jam 6 petang

Sesi dialog itu juga akan dikendalikan oleh pengamal undang-undang, Azhar Harun atau dikenali sebagai Art Harun.

– M’kini

.