ARAHAN ROS TIDAK MASUK AKAL – KIT SIANG

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya parti itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak masuk akal.

Kit Siang yang sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bersara berkata demikian menerusi status terbaharunya di Twitter beliau.
“Most ridiculous ROS orders DAP to hold yet another party election (Tidak masuk akal arahan ROS supaya DAP mengadakan semula pemilihan parti),” katanya hari ini.

Status yang dimuat naik kira-kira pukul 6.30 petang itu susulan kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah hari ini yang mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baharu.
Menurut Mohamad Razin, pemilihan CEC baharu dan telus itu bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

“Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP,” katanya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar esok bagi membincangkan arahan ROS supaya parti itu mengadakan semula pemilihan CEC yang didakwa tidak sah.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, kesemua pemegang jawatan CEC parti itu yang menang dalam pemilihan pada 2013 telah diarahkan hadir pada mesyuarat ber­kenaan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, pukul 2 petang.

Katanya, ketika ini, seluruh kepemimpinan parti terkejut dengan arahan berkenaan kerana pemilihan kali kedua telah diadakan pada 2013.

“Selepas diarah mengadakan pemilihan semula berikutan aduan yang dibuat oleh ahli pada 2012, parti menjalankan pemilihan kali kedua pada tahun berikutnya, namun berdasarkan kenyataan terbaharu ROS hari ini, kami menunggu surat rasmi daripada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP berasa pelik kerana arahan pemilihan semula itu mengambil masa lama iaitu empat tahun untuk dikeluarkan.

“Ketika ini, kami mempunyai pelbagai pandangan terhadap arahan ini dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan esok selepas mesyuarat,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng mengakui arahan berkenaan sekaligus telah mengganggu persiapan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

– http://www.utusan.com.my/

.