ARAHAN EKSEKUTIF TRUMP, APA NAJIB BUAT?

SHAH ALAM – DAP mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pentadbirannya yang tidak mengambil bahagian tatkala dunia sedang menbantah arahan eksekutif yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Penasihatnya, Lim Kit Siang turut mempersoalkan sama ada Kementerian Luar dan Najib sendiri masih terkejut dengan arahan tersebut untuk memberikan reaksi mereka.

“Takkanlah beliau masih terkejut dengan arahan eksekutif tersebut sedangkan Trump sebelum ini sudah menghebohkan rancangannya semenjak berkempen lagi.

“Atau adakah beliau berdiam diri kerana skandal 1MDB yang kini sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman (DOJ),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Trump menandatangani arahan eksekutif pada Jumaat lalu yang menghalang visa dari tujuh negara Islam iaitu Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman serta menghalang kemasukan pelarian Syria ke negara itu.

Sementara itu, Kit Siang turut menyindir hubungan baik Najib bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga mengambil langkah berdiam diri.

“Sikap berdiam diri oleh Abdul Hadi juga menunjukkan keintiman politik dan kerjasama antara mereka berdua.

“Sedangkan jika melihatkan arahan eksekutif itu yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan itu, sepatutnya Pas antara yang pertama mengutuk tindakan Trump,” katanya lagi.

Selain itu, tambahnya lagi bahawa Najib seharusnya sedar bahawa orang ramai akan bertanya kepadanya mengenai isu ini.

“Sebelum ini, dia begitu lantang membidas Aung San Suu Kyi mengenai isu Rohingya namun begitu bila timbul isu Trump, beliau senyap pula,” katanya.

– Sinar Harian

.