APAKAH SIJIL HALAL JAKIM TIDAK CUKUP HALAL?

Satu lagi cerita “karut” daripada Risda.

Dulu cerita “karut” Risda ialah nak tanam dan eksport ketum ke luar negara, kali ini Risda dengan kerjasama Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia atau Ikiam “mengarut” lagi dengan mahu mengeluarkan satu lagi logo halal baru.

Logo halal yang mahu dikeluarkan Risda dengan kerjasama Ikiam ini ialah khas untuk produk keluaran Muslim sahaja.

Menurut Pengerusi Risda, Zahidi Zainul Abidin, logo halal baru itu bertujuan mengesahkan produk berkenaan keluaran usahawan Muslim selepas mereka memperolehi sijil halal Jakim.

“Keperluan menambah satu lagi logo halal adalah bagi membezakan produk keluaran Muslim dengan bukan Muslim.

“Ia juga bertujuan meredakan keraguan segelintir masyarakat mengenai isu halal berkenaan,” kata Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, Perlis.

Memang ini kerja “mengarut” oleh Risda. Buat apa nak dikeluarkan satu lagi sijil halal yang khas untuk usahawan Muslim?

Jika mereka sudah ada sijil halal Jakim, apa yang perlu diragui lagi dengan kehalalan produk itu?

Bukankah Jakim sebuah jabatan kerajaan yang diiktiraf untuk mengesahkan halalnya sesuatu produk?

Apakah sijil halal Jakim tidak cukup halal sebenarnya? Atau Risda sendiri meragui sijil halal Jakim itu?

Setelah sijil halal untuk produk Muslim, sijil halal apa lagi mahu diperkenalkan selepas ini?

Mungkinkah nanti akan ada pula produk halal Melayu, produk halal pinjaman bank tanpa riba, produk halal bantuan kerajaan UMNO atau macam-macam lagi?

Membanyakkan sijil halal untuk usahawan adalah kerja “mengarut”, selain menyusahkan usahawan Muslim itu sendiri. Ini kerana sudah tentu bayaran tertentu akan dikenakan kepada mereka untuk memperolehi sijil tersebut.

Sijil halal Jakim sudah dikenakan bayaran, sijil halal Muslim Risda dengan kerjasama Ikiam pun kena bayar juga, sedangkan jualan produk belum tentu meningkat lagi dengan adanya dua sijil halal itu.

Akhirnya, produk usahawan Muslim tidak ke mana, yang buat duit dan meniaga ialah Risda dan Ikiam itu sendiri.  – SH

.