APAKAH RAHMAN DAHLAN DAH HABIS FIKIR?

Jika sebelum ini Abdul Rahman Dahlan hanya berkias dengan mengatakan hanya orang bodoh saja tak tahu siapa sebenarnya Malaysian Official 1 yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS, kini beliau secara terbuka mengesahkan individu berkenaan adalah Najib Razak.

Sebagaimana dipetik melalui wawancara dengan BBC, Pengarah Strategik BN itu berkata, “Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah Perdana Menteri.”

Tidak seperti pemimpin-pemimpin UMNO lain yang takut-takut untuk menamakannya secara terbuka kerana ingin melindungi kedudukan Najib, Rahman sebaliknya bersikap sangat terbuka.

Malah dengan mengesahkan Najib sebagai Malaysian Official 1 melalui saluran BBC, tidak melalui media tempatan, Rahman seperti ingin pengesahannya itu diketahui serta didengari oleh seluruh dunia.

Sebelum ini, Bung Mokhtar Radin misalnya enggan berterus-terang dengan mengatakan Malaysian Official 1 itu boleh jadi merujuk kepada sesiapa saja, manakala Nawawi Ahmad pula mentafsirkannya sebagai Yang Dipertuan Agong.

Pemimpin-pemimpin UMNO selebihnya, walaupun sedar Malaysian Official 1 itu juga dirujuk sebagai mempunyai talian persaudaraan dengan Riza Aziz, tetapi keberatan untuk menyebutnya secara terbuka dan terang-terangan.

Ini kerana, risiko mengesahkan nama Najib bererti turut bersetuju dengan dakwaan Jabatan Kehakiman AS mengenai kemasukan wang sebanyak AS$731 juta atau kira-kira RM3,000 juta yang berpunca daripada 1MDB ke dalam akaun peribadi Malaysian Official 1 itu.

Apakah dengan pengesahan terbuka Rahman Dahlan bahawa Najib adalah Malaysian Official 1, beliau ingin memberitahu dunia bahawa wang tersebut memang berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan dan bukan merupakan derma daripada Timur Tengah?

Apakah Rahman sudah berfikir habis-habisan mengenai risiko pengesahannya melalui BBC itu?

Berapa lama lagi rasanya Rahman Dahlan boleh bertahan sebagai menteri?

Rahman Dahlan

– SH