APAKAH PAS SUDAH MULA LEMBUT HATI UNTUK BERKOMPROM

Pas hari ini memberi amaran kepada parti-parti pembangkang  lain untuk sama-sama berbincang mengenai kerusi bagi menghadapi PRU 14 akan datang.
Pesuruhjaya Selangor yang juga Naib Presiden Pas, Iskandar Abdul Samad berkata, sekiranya parti-parti lain boleh bersetuju untuk pertandingan dua penjuru, Pas sedia menghormatinya.
Namun, sekiranya ia tidak berlaku, beliau seakan memberi amaran bahawa “sama-samalah kita menanggung akibatnya.”
Apakah “ajakan untuk sama-sama berbincang”  itu menunjukkan Pas sudah mula berlembut sikapnya dan amaran “sama-samalah kita menanggung akibatnya” pula sebagai isyarat pelawaan untuk berunding dengan baik?
Apakah ia dengan sendirinya menandakan Pas tidak lagi berpegang kepada blok ketiga Gagasan Sejahtera yang diumumkan sebelum ini?
Memang bagus jika Pas sudah bersikap terbuka dan sedia berunding baik-baik sesama parti pembangkang lain untuk mencapai matlamat satu lawan satu, sesuai dengan kedudukan dan matlamat bersama parti-parti pembangkang untuk menumbangkan UMNO dan BN.
Cuma, jika benar Pas sama-sama ingin mengalahkan UMNO dan BN, janganlah diletak syarat yang bukan-bukan sebelum perbincangan diadakan, terutama berkaitan 70 kerusi yang seolah-olah tidak boleh langsung untuk dikompromi.
Yang penting, dalam usaha menyelamatkan negara dan mengalahkan UMNO dan BN serta menyingkirkan kepimpinan Najib Razak yang sudah menukar demokrasi kepada kleptokrasi, bukanlah berapa banyak kerusi yang ingin ditandingi, sebaliknya banyak mana yang boleh dimenangi melalui kerjasama yang dipersetujui.

Tidak guna bertanding banyak kerusi jika banyak juga yang kalah akhirnya. Biarlah berkompromi asalkan jumlah kerusi yang dimenangi memuaskan hati dan matlamat yang ingin dicapai menghasilkan kejayaan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.