APAKAH HIDUP LEBIH BAIK DALAM LIMA TAHUN INI?

INI mesej kepada rakyat Malaysia: undi kita adalah milik kita.

Nampak macam terang lagi bersuluh, bunyinya macam basi.

Tetapi hakikatnya akan ada banyak orang dari pelbagai latar pengaruh yang akan bercakap macam-macam dari sekarang sampailah ke hari mengundi. Sesetengah mereka akan menggunakan pangkat dan kedudukan dan menggunakan pula ayat yang munasabah supaya rakyat Malaysia mengundi mengekalkan keadaan sedia ada.

Media arus perdana akan menampilkan suara-suara ini yang menyamar sebagai berita eksklusif untuk mengutarakan dengan halus pandangan bahawa perubahan akan membawa kepada kekacauan.

Tetapi inilah satu-satunya soalan yang perlu dijawab: apakah hidup kita bertambah baik sejak PRU13 pada 2013?

Apakah taraf hidup kita lebih baik dalam masa lima tahun lalu?

Atau apakah ia bertambah buruk?

Apakah dalam masa lima tahun ini kita lebih sering masuk tidur dan bangun pagi dihimpit risau tentang kos sara hidup?

Apakah anda dan keluarga anda terpaksa mengubah cara makan untuk berjimat?

Adakah anda gembira dengan ruang yang ada untuk mengamalkan agama anda? Atau adakah anda percaya kebebasan beragama yang dijamin perlembagaan telah terhakis sejak pilihan raya yang lalu?

Adakah anda percaya perpaduan dalam kepelbagaian masih lagi satu kekuatan atau polarisasi kaum sudah jadi satu isu di Malaysia?

Adakah kedaulatan undang-undang dan konsep keadilan yang asas penting di Malaysia? Atau apakah rukun itu sudah diketepikan?

Apakah rasuah sudah jadi masalah lebih besar di Malaysia sejak PRU13? Apakah tanggapan anda tentang langkah-langkah yang diambil untuk memerangi rasuah dan menghukum penyeleweng?

Adakah anda percaya pemimpin kini lebih jujur dan berkebolehan berbanding lima tahun lalu?

Adakah kejiranan anda lebih selamat hari ini?

Senarai soalan ini panjang, dan soalan-soalan yang perlu dijawab ini berbeza bergantung pada status ekonomi, kaum, agama dan di mana anda tinggal.

Biarpun proses ini memenatkan dan membosankan, ia akan membantu rakyat Malaysia menjawab soalan yang mustahak: adakah hidup bertambah baik sejak 2013?

Tidak penting apa yang diberitahu kepada kita oleh pemimpin politik, teraju korporat atau kerabat diraja menjelang pilihan raya nanti.

Pedulikan kata-kata nasihat mereka kerana mereka ada motif tersendiri dalam memberikan “nasihat” itu.

Undi kita adalah milik kita.

Adakah hidup ini lebih baik dalam masa lima tahun lepas?

– https://www.themalaysianinsight.com

.