APAKAH ADA ALASAN YANG LEBIH BAIK UNTUK TERUS MENGEKALKAN NAJIB?

Hancur luluh hati Tun Razak kalau hari ini beliau masih hidup – ini bukan kata-kata yang diucapkan oleh orang biasa, tetapi oleh Sultan Nazrin Shah, Sultan bagi Negeri Perak.

Beliau menggariskan empat sebab luluhnya hati Tun Razak itu.

Pertama, perpaduan rakyat yang telah dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin politik.

Kedua, Dasar Pelajaran Kebangsaan gagal menjadikan sekolah sebagai taman asuhan untuk menyatu-padukan rakyat.

Ketiga, penyelewengan dan pembahagian kekayaan Bumiputera yang tidak adil sehingga menimbulkan kemarahan kaum Bumiputera sendiri.

Keempat, kecewa dengan amalan rasuah dan tahap integriti dalam negara ketika ini.

Sebelum ini, anak bongsu Tun Razak sendiri, Nazir Razak pernah berkata, jika bapanya masih hidup, beliau pasti terkejut melihat bagaimana negara ini ditadbir.

Nazir adalah adik bongsu kepada Najib Razak dan beliau sudah beberapa kali  bersuara melahirkan kebimbangan, menyindir dan mempunyai nada yang berbeza, terutama berkaitan isu ekonomi dan 1MDB.

Selain itu, Tun Mahathir Mohamad dalam banyak ucapannya juga turut melahirkan kekecewaan terhadap kepimpinan Najib dan menyifatkan ia amat bertentangan dengan gaya kepimpinan Tun Razak yang amat dikaguminya.

Rakyat biasanya, tentunya lebih ramai, sama ada yang bersuara secara terbuka atau menunggu masa tibanya tarikh pilihanraya, mempunyai pandangan yang serupa, sama ada dengan apa yang diluahkan oleh Sultan Nazrin Shah, Tun Mahathir atau Nazir itu.

Kenapa semakin ramai yang bersuara?

Kenapa ketika Tun Mahathir atau Tun Abdullah Badawi berkuasa dahulu, tidak pernah timbul suara yang mengatakan ada Perdana Menteri terdahulu yang kecewa, terkejut atau luluh hati dengan kepimpinan mereka?

Jika bapa Najib sendiri digambarkan pasti kecewa, terkejut dan luluh hati, apakah sebahagian daripada kita ada alasan yang lebih baik untuk terus mengekalkan lagi anaknya itu sebagai Perdana Menteri?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.