APABILA INFLASI BAIK UNTUK EKONOMI

DALAM rencana sebelum ini di mana kita berbahas dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, mengenai hutang kerajaan dan prestasi ekonomi, beliau bandingkan kedudukan kita dengan Jepun.

Antara lain, katanya, nisbah hutang kerajaan berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar tidak tinggi, dibandingkan dengan negara maju, khususnya Jepun.

Saya membalas dengan menyatakan perbandingan itu tidak tepat kerana Jepun negara kaya dengan ekonomi serta bilangan penduduk yang berganda lebih besar daripada negara kita.

Apa yang dibimbangkan sudah mula berlaku dan kesannya dirasakan rakyat. Kita dengar mengenai pengurangan peruntukan kepada kementerian sosioekonomi seperti pelajaran dan kesihatan.

Kita juga membaca berita bagaimana bilangan biasiswa pengajian tinggi terpaksa dikurangkan, duit kocek pelajar matrikulasi lambat dibayar, ujian kesihatan dihadkan dan bayaran kepada kontraktor tertangguh.

Minggu ini saya ingin menyambung perbahasan mengenai isu fiskal dan mata wang memandangkan kerajaan sedang dalam proses merangka Belanjawan 2017.

Kebetulan saya sekarang berada di Jepun atas jemputan kementerian luarnya Gaimu-sho. Jemputan itu dibuat atas nama wartawan media sosial kerana selain menulis di akhbar dan majalah, saya juga mengendalikan blog dan Facebook.

Jepun negara maju dengan ekonomi ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Ekonominya dianggarkan bernilai AS$4,413 bilion (kira-kira RM17,653 bilion).

Itu pun ia masih menanggung kesan buruk akibat hutangnya yang besar walaupun pada hakikatnya ia dapat membayar balik hutang dan kebanyakan hutangnya adalah daripada sumber dalam negara. Maksudnya kerajaan Jepun berhutang dengan rakyat jelatanya sendiri.

Presiden dan Pengarah Urusan Institut Hal Ehwal Luar Jepun, Yoshiji Nogami yang berupa bekas diplomat kanan memberitahu saya, hutang yang tinggi memuramkan sentimen terhadap ekonomi Jepun.

Walaupun ekonomi Jepun berkembang kadarnya sangat rendah – dianggarkan dalam 0.7 peratus saja tahun ini. Itu pun sudah dianggap sebagai kejayaan besar bagi pentadbiran Perdana Menteri Shintaro Abe kerana sebelum ini ekonomi Jepun alami penguncupan disertai oleh deflasi.

Deflasi adalah keadaan di mana harga jatuh secara berterusan. Kalau inflasi yang tidak terkawal buruk kepada ekonomi sesebuah negara, deflasi mempunyai kesan yang lebih kronik kerana ia bukan sahaja tidak menjamin keuntungan, sebaliknya menyebabkan kerugian yang berterusan.

Misalnya, peruncit membeli barang dengan harga RM1 seunit tetapi apabila hendak dijual harganya jatuh kepada 90 sen. Begitu juga dengan petani yang harga hasil keluarannya lebih rendah daripada kos pengeluaran.

Dalam karya agungnya “Muqaddimah” cendekiawan Islam terkemuka Khaldun telah menyentuh mengenai fenomena ekonomi ini. Beliau membuat ulasan itu pada tahun 1377 Masihi, mendahului ahli ekonomi moden beratus tahun lamanya.

Setelah berjaya menamatkan deflasi, matlamat kerajaan Jepun sekarang ialah menggalakkan inflasi. Aneh bukan? Di banyak negara kerajaan bertungkus-lumus mengurangkan kadar inflasi tetapi di Jepun kerajaannya berusaha menggalakkan inflasi.

Pada tahun 2013, Bank Negara Jepun (BoJ) diarahkan supaya melaksanakan dasar mata wang bagi menaikkan kadar inflasi kepada sekitar dua peratus setahun.

Tetapi nampaknya usaha menaikkan kadar inflasi sama sukar dengan mengurangkannya. Ini adalah kerana ekonomi Jepun tumbuh terlalu perlahan dan pengguna tidak ada pendapatan tambahan untuk berbelanja dengan lebih besar.

Beberapa hari lalu, Gabenor BoJ, Haruhiko Kuroda berkata matlamat itu mungkin tidak dapat dicapai sehingga 2018.

Kesimpulannya, pengurusan ekonomi dan kewangan negara bukanlah semudah membuat janji dan menaikkan semangat rakyat jelata. Ia memerlukan tahap pengetahuan, ketelusan dan keikhlasan yang tinggi disertai oleh kewibawaan yang mantap.

Banyak masalah ekonomi yang dihadapi oleh sesebuah negara tercetus akibat persepsi negatif terhadap pemerintah, perancang dan pelaksana dasar.

Faktor kebolehpercayaan penting bagi perbaiki sentimen terhadap ekonomi. Tanpa sentimen positif, pelabur tidak akan melabur dan pengguna tidak berani berbelanja lebih. Pelaburan dan perbelanjaan adalah pemacu pertumbuhan ekonomi. Wallahuaklam.

– M’kini

.