APA YANG MENAKUTKAN NAJIB UNTUK BUBAR PARLIMEN?

DENGAN Perhimpunan Agung Umno ke-71 (PAU) melabuhkan tirai Ahad lalu, maka berakhirlah “gelombang ke-3” yang direncanakan kumpulan strategis parti Melayu terbesar di dunia itu.

Ya, PAU distrategikan pemikir parti sebagai “Gelombang Ke-3” atau “The Third Wave” yang seharusnya menyuntik semangat dan keghairahan pendokong tegar Umno bagi menyatakan kesediaan mereka untuk “berperang” bersama presidennya.

Pun begitu, presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu jelasnya belum bersedia. Tulisan ini akan membutirkan perihal mengapa Najib Razak masih gugup dan gusar untuk membubar Parlimen meskipun PAU sudah berlalu.

Buat permulaan, semua yang berucap dalam “galeri besar” tahunan itu bersaing serta berlumba bertempek buat menyatakan kesediaan untuk bertempur. Macam-macam slogan keramat dipinjam dari pasukan bolasepak England nampaknya. Itulah pasalnya, sebab itu sahaja yang mudah dan diketahui.

Yang penting, posisi presiden dan timbalannya selamat. Semua 5,739 anggota perwakilan dari 191 Umno bahagian yang hadir sebulat suara meluluskan usul itu untuk tidak mencabar mereka.

Nak beri menang percuma atau tidak, atau mahu “Bersatu- Always Be United” di belakang presiden supaya beliau “Never Walk Alone” dan sebagainya, itu hak Umno dan ahli untuk tentukan.

Namun, yang tampak dek rakyat secara jelas, adalah kegagalan PAU membangkitkan suara “semak-imbang” dan suara “muhasabah” yang sangat dihajati Umno yang berusia 71 tahun itu. Ia langsung pupus, tidak kedengaran.

Lalu apa erti “Bersatu” dan “Mendukung” pimpinan? Atas dasar dan komitmen apa? Dengar dan taat begitu sahaja! Itu adalah ketaatan kepada pimpinan secara salah dan persis dasar “Asobiyah” mengikut kalam Rasul Allah yang ditakrif.. “Kau menyokong kaummu atas kezaliman dan kemungkaran”.

Bukankah sebaliknya Rasul Allah menganjurkan ketika pemimpin melakukan kezaliman dan kesalahan itu lalu harus “unsur akhoka”.. “Bantu mereka”. Bagaimana?.. dengan “kau perbetulkan kesalahan dan kemungkaran yang mereka lakukan?”.

Maka inilah gamaknya yang dimaksudkan dengan “Asobiyah”. Mengekalkan Ketuanan Melayu meskipun pemimpin terpalit atau sarat dengan rasuah, rompak, bolot, boros dan bazir. Sudah pupuskah suara-suara itu setelah mereka yang berani semuanya telah disingkir?..Waduuuh!

Itulah persepsi rakyat dan umat terhadap Umno buat yang berfikir dan peka dengan politik negara. Benar semua nak menang. Tetapi mereka mahu menyaksikan komitmen yang tinggi oleh parti dan kepimpinan terhadap nilai dan kejujuran perjuangan.

Ya, mesti bersedia mengakui kesilapan walau bagaimana besar sekalipun “dosa” dan kemungkaran yang dilakukan.

Sejujurnya, Najib terlepas peluang keemasannya untuk menyatakan beliau “mungkin” silap dan pohon kemaafan dari semua ahli parti bahkan rakyat seluruhnya atas perihal skandal 1MDB!

Alahai..apabila berada dalam “galeri besar” PAU, hilang kompas kewajaran dan kebijaksanaan. Kesombongan dan kegilaan untuk kekal berkuasa mengatasi segala-galanya. Lalu ditutup segala ruang “penentangan” serta suara semak-imbang.  Awal-awal lagi sudah menang percuma untuk kekalkan jawatan presidennya itu!

Sekali lagi, Najib selaku presiden Umno dan BN itu, sangat gusar untuk membubarkan Parlimen. Tidak nampak langsung riak atau isyarat yang beliau bersedia ke arah itu, walaupun sesekali retoriknya keras dan ganas. Beliau masih digaris dan titik yang sama. Terus mengira-mengira dan mencongak-congak.

Nah, mungkin ramai tertanya-tanya, kalau PAU adalah “Gelombang Ke-3”, maka apakah Gelombang Pertama dan Keduanya? Mudahnya “Gelombang Pertama” adalah lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) berjumpa Presiden Donald Trump buat memperagakan kepada rakyat bahawa Najib tidak ada masalah dengan kuasa dunia tunggal itu dan Trump.

Gelombang Kedua adalah Pembentangan Bajet 2018 dan segala rasa sedap atau “feel-good factor” yang mampu dicipta. Gelombang Ketiga ialah PAU yang baru berakhir.

Berjayakah Najib? Apa yang Najib dapat dari lawatan Amerika ‘mengadap’ Trump? Jawapannya ada di sisi rakyat hari ini. Rakyat tidak akan lupa pengakuan Najib kepada Trump untuk ‘membantu anda mengukuhkan ekonomi AS’.

Masih terngiang-ngiang di telinga rakyat komitmen Najib untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat. Keseluruhannya bernilai melebihi AS$10 bilion (RM41.9 bilion) mengikut Najib. Tidak cukup dengan itu Najib tambah berbilion lagi pelaburan dari KWSP dan Khazanah yang telah sedia ada di AS.

Dengan angkara mutakhir Trump mengiktiraf Jerusalem atau Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel, secara ‘unilateral’, maka berkewajipan untuk Najib memberi apa jua tekanan yang termampu untuk menyatakan penentangan Malaysia. Mampukah Najib lakukan dan bagaimana cara terserah kepadanya. Rakyat sedang memerhatikan!

Pokoknya, itulah kesudahan Gelombang Kedua Najib dan para strategis parti! Sekarang Trump dan Amerika sudah menjadi liabiliti dan ancaman besar buat seluruh dunia…!

Setelah Bajet 2018 diluluskan dan gegak-gempitanya mula reda, impak dan euporia keseronokan “lbu Segala Bajet” mula pudar dan hambar. Semuanya tidak dapat dirasakan lagi sebab ongkosnya belum ada lagi.

Yang jelasnya derita rakyat terus menghempit rakyat. Pengakuan besar kegagalan Gelombang Kedua yakni Bajet 2018, dalam menangani “Derita Rakyat” adalah ketika PAU membuat resolusi menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara! Belanjawaan Pakatan Harapan (PH) 2018 yang menekankan aspek menangani aspek kos sara hidup rakyat dipandang sepi bahkan dicemuh pimpinan Umno-BN.

Akibat cukai GST, penarikan balik subsidi dan penyusutan nilai ringgit, amat munasabah dapatan “Survey Malaysia 2017: Mood of the Nation” mendapati 82% dari 4,468 responden bersetuju GST adalah faktor utama pencetus kos barangan dan sara hidup naik mencanak. Dalam dapatan kajian yang dijalankan Jabatan Statistik pula, purata perbelanjaan isi-rumah rakyat Malaysia: perumahan dan utiliti adalah 24%, makanan dan minuman sebanyak 18% dan pengangkutan ialah 13.7%. Kesemua ini mengalami kenaikan kos memuncak.

Lalu, setelah 3 Gelombang berlalu Najib masih tercari-cari tarikh keramatnya, kerana ada satu lagi senjata sulit yang mesti digunakannya. Apa? Persempadanan Semula. Najib amat memerlukan SPR menggunakan cadangan baru ini. Ini hampir ‘saviour’ atau talian hayatnya.

Setelah kalah bantahan dari pihak pembangkang dan PH di Mahkamah baru-baru ini, Najib sangat mengharapkan ‘konstituensi baru’ yang diracik dan di’gerry-mandered’ oleh SPR akan memberi ‘advantage’ kepada UBN. Beliau tidak akan membubarkan parlimen selagi Persempadanan Baru SPR belum diluluskan Parlimen.

Walaupun sudah 3 Gelombang dijana para Strategis Umno, kesemua 5 ‘agensi sulit’ yang menasihati Najib tidak lagi mengizinkannya membubar Parlimen. Belum ada jaminan Najib akan menang.

Dengan hanya 43 ‘kerusi selamat’ BN di Sabah dan Sarawak, dan 53 ‘kerusi selamat’ dari 119 kerusi majoriti Melayu di Semenanjung dan 4 kerusi campuran, Najib hanya ada 100 kerusi sahaja yang beliau agak selesa atau selamat.

Sementara PH mempunyai 50 ‘kerusi campuran yang selamat’ di Semenanjung, 9 di Sabah dan Sarawak dan berpotensi menawan 47 kerusi dari 119 kerusi Melayu di atas. Ini menjadikan jumlah besar kerusi potensi PH ialah 106. Lebih menghampiri angka ajaib 112 atau ‘First Past The Post’.

Amat munasabah menjangkakan Najib akan bermatian untuk mendapatkan persempadanan baru diluluskan kerana strateginya adalah memperkuatkan kerusi Melayu dengan pelbagai kaedah ‘gerrymandering’ yang disebutkan tadi.

Seperkara lagi, PAU juga agak euphoria dan bergembira kerana menyangkakan seteru tradisinya PAS, sudah dapat dijinakkan dan tidak lagi akan menyerang Umno-BN. Justeru ada yang meramalkan Umno-BN akan menang besar dengan perlawanan 3-penjuru nanti. Umno keseronokan. Isu persaingan agama dan pertentangan kaum akan terus dimainkan mereka. Amat kompleks PRU-14 kali ini.

Apakah pimpinan akar-umbi PAS akan mengizinkan PAS diperlakukan sedemikian oleh segelintir pimpinan tertinggi parti itu? Kerana PAS akan menerima padah yang paling buruk. Sama-sama rakyat saksikan ‘political posturing’ atau ‘gelagat politik’ PAS menjelang PRU14 nanti.

Buat PH, gandingan kepimpinan dua tokoh legendari Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim memberikan suntikan keyakinan besar kepada rakyat seluruhnya.

Cakap-cakap tentang DAP dan Lim Kit Siang sudah dibakul-sampahkan dek rakyat. PH semakin mantap selepas retreat baru-baru ini. Pelbagai tawaran menarik sebagai penyelamat rakyat dan negara bakal didedahkan dalam Manifesto yang hampir siap. Strategi Kemenangan sudah dilakar. Pelaksanan dan mobilisasi jentera perlu mantap dan berkesan.

Yang penting, rakyat lebih bersedia memberi memberi peluang kepada PH dari mengulangi kesilapan yang sama dalam memilih Umno-BN. PH kini lebih utuh dan berpadu, lantas akan terus mara dan maju.

– https://www.themalaysianinsight.com

.