APA PERLUNYA MALAYSIA MELABUR DI AMERIKA, TANYA PEMBANGKANG

U.S. President Donald Trump welcomes Malaysia's Prime Minister Najib Razak to the White House in Washington, U.S. September 12, 2017. REUTERS/Jonathan Ernst

APA faedahnya lawatan Perdana Menteri Najib Razak membawa pelaburan Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) ketika ada banyak hal yang memerlukan perhatian di negara ini daripada soal pembangunan sampailah kepada kos sara hidup yang tinggi, soal pemimpin pembangkang.

Nada yang sama mereka suarakan melalui platform media sosial hari ini, ketika Presiden AS Donald Trump berterima kasih kepada Najib atas pelaburan tersebut.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang terkejut dengan pengumuman pelaburan AS$24 bilion Malaysia di AS itu bertanya, apa perlunya Malaysia membantu ekonomi terbesar dunia itu ketika ekonominya sendiri memerlukan pelaburan dari luar.

“Adalah sukar dipercayai KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), mengikut Najib, akan membelanjakan antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion ke atas pembangunan semula infrastruktur di AS.

“Adakah perdana menteri cuba memberitahu kita yang membantu AS membina infrastruktur adalah lebih penting daripada membantu Sabah dan Sarawak membina jalan raya dan paip air?” katanya dalam satu kenyataan media.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR mengingatkan wang dalam KWSP adalah amanah untuk rakyat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

“Kita memahami pilihan Najib untuk bertemu dengan Presiden AS Donald Trump, namun pemimpin tidak boleh menggadaikan kesejahteraan ekonomi negara hanya untuk peluang bergambar,” katanya.

Membuka pertemuannya dengan Trump, Najib berkata beliau berkunjung ke Washington dengan tiga cadangan khusus “untuk mengukuhkan ekonomi Amerika” iaitu menambah pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines daripada Boeing serta melabur dana KWSP dalam pembangunan infrastruktur negara itu serta meningkatkan pelaburan Khazanah Nasional di negara itu.

Urus niaga dengan Boeing yang pada asalnya lapan pesawat Dreamliners 787 bernilai AS$2.2 bilion kemudiannya bertukar jadi komitmen AS$10 bilion untuk jet dan enjin jet daripada General Electrics.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli daripada PKR pula menyifatkan janji-janji Najib kepada Trump hanyalah “bayaran ufti” untuk mendapatkan temu janji 30 minit bergambar dengan presiden Amerika itu dakwa beliau diatur melalui lobi dan hanya menguntungkan Amerika.

“Saya akan meneruskan siri pendedahan mengenai lawatan “membayar ufti” yang menggadaikan kepentingan negara ini selepas ini setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam reaksinya melalui Twitter menyindir Najib kerana membantu Trump mengotakan janji kempen pemilihan presiden, menjadikan Amerika hebat semula.

“Oh wow! Malaysia offers $$$ to help make America Great Again. Najib: Number one, we want to help you in terms of…,” kata Pua.

Aktivis anti rasuah Cynthia Gabriel pula, juga dalam reaksi melalui Twitter, menyifatkan pelaburan Malaysia ke Amerika itu ‘ironi yang luar biasa’ “ketika rakyat Malaysia terus bergelut dengan ekonomi yang merosot dan kos yang meningkat.”

Bekas pengerusi bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan pula mempersoalkan tentang pelaburan ke luar negara itu yang dibuat ketika kerajaan memotong peruntukan untuk bidang pendidikan dan kesihatan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga bertanya soalan sama kenapa Malaysian mahu memperkukuhkan Amerika dan apa kesannya kepada negara, jika ada.

“Pada masa yang sama adalah aneh untuk kita melabur dalam infrastruktur AS tetapi meminta pelaburan untuk projek di negara kita sendiri daripada China,” katanya.

Adun Seri Setia itu juga mempersoalkan, berdasarkan transkrip White House, kenapa komitmen Malaysia memerangi pengganas serta isu-isu Palestin dan Rohingya tidak disebut dalam pertemuan itu.

“Mengapa – jika Najib benar-benar menjuarai isu-isu ini – beliau tidak membangkitkannya dengan Trump?”

Sementara itu, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar secara menyindir mengucap tahniah kepada Najib.

“Tahniah @NajibRazak! RM42 b beli kapalterbang & RM16.8 b labur di Amerika. Oh, mana peluang pekerjaan buat rakyat Msia?” tulisnya di Twitter.

Trump dijadual melakukan lawatan ke Malaysia pada November ini untuk memeterai beberapa perjanjian yang dibincangkan di Washington pada lawatan Najib ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.