‘APA PENDIRIAN HADI TENTANG HARTA DIBELI GUNA WANG 1MDB?’

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pendiriannya mengenai tawaran Amerika Syarikat (AS) untuk mengembalikan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Ini berikutan kenyataan Hadi yang mendakwa saman pelucuthakan itu sebagai “campur tangan asing” dan mereka yang memanfaatkan peluang itu untuk memenangi pilihan raya akan menjejaskan Malaysia.

Lim mempersoalkan sama ada Hadi akan menyokong wang bernilai berbilion ringgit itu dipulangkan kepada rakyat Malaysia.

Wang berkenaan antaranya digunakan untuk membeli barang kemas, lukisan dan hartanah mewah oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, yang kemudian dihadiahkan kepada pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio, model Australia, Miranda Kerr dan ‘isteri’ Malaysian Official 1 (MO1).

Beliau berkata, DiCaprio dan Kerr telah mengembalikan hadiah yang diterima daripada Low kepada pihak berkuasa AS.

Hadiah itu dibeli oleh Low menggunakan sebahagian daripada AS$4.5 bilion (RM19.3 bilion) yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB, menurut Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Bagaimanapun, Lim berkata “operasi propaganda kerajaan Umno” menggatakan Kerr sepatutnya mengembalikan wang itu kepada Low dan bukan DOJ.

“Adakah Hadi bersetuju dengan kerajaan Umno ini. Dan apakah pendiriannya terhadap pembelian kapal layar mewah, hartanah termasuk hotel dan kondominium, barang kemas mahal dan barangan seni yang dibeli daripada dana 1MDB yang dicuri?” katanya merujuk kepada kenyataan anggota panel penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz.

– M’kini

.