APA NASIB ‘UNITS’ 1MDB SEBENARNYA?

Ketika isu 1MDB dianggap ramai masih belum diselesaikan dengan memuaskan bekas pengarang kumpulan New Straits Times (NST) mengenang kembali pengalamannya semasa berada di akhbar berkenaan.

Sebagai pemimpin redaksi akhbar berkenaan, Mustapha Kamil Mohd Janor adalah antara orang yang mendapat banyak maklumat daripada kerajaan atas dasar akhbar itu yang mendukung kerajaan semasa.

Akhbar arus perdana juga diketahui mempunyai hubungan yang rapat dengan Putrajaya berbanding media lain yang berada di luar lingkungan berkenaan.

Untuk rekod sebelum dilantik sebagai pengarang kumpulan, Mustapha Kamil ialah pengarang bersekutu Business Times – yang diterbitkan NST – sebelum menjadi pengarang urusan sisipan Business Times serta Life and Times.

Berikut adalah catatan Mustapha Kamil yang dimuat naik di akaun Facebooknya:

Sejarah cerita ‘UNITS’.

Semasa istilah ‘units’ ini mula muncul dahulu saya masih di bilik berita. Ketika itu 1MDB ini sedang bersilat kiri dan kanan ‘memerangi’ pelbagai berita buruk yang muncul tentangnya di beberapa akhbar ternama antarabangsa, khususnya Wall Street Journal yang berpangkalan di New York.

Ketua Eksekutif 1MDB ketika itu, Arul Kanda, yang pada awalnya diberi kepercayaan penuh untuk menerangkan tentang 1MDB itu sudah mula kelihatan goyah kedudukannya di kalangan jemaah menteri.

Ada yang berkata memandangkan skandal itu sudah melangkah ke alam politik – dan lebih-lebih lagi parti Umno sendiri – Arul bukanlah orang yang patut duduk di hadapan menangkis segala berita tentang 1MDB itu.

Seorang yang faham selok-belok kewangan dan seorang ahli politik diperlukan.

Sebelum itu Datuk Seri Ahmad Maslan ada cuba untuk mengepalai penerangan mengenai 1MDB ini. Tetapi beliau menemui kegagalan lalu disuruh pula menerangkan isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan) kepada rakyat.

Tugas menerangkan isu 1MDB itu akhirnya jatuh ke pangkuan Datuk Seri Husni Hanadzlah. Malangnya, beliau mengambil alih sejurus selepas Arul Kanda menghebahkan ke mana wang RM42 bilion dari 1MDB itu telah pergi, di mana antaranya terkandung sejumlah yang katanya dilaburkan sebagai ‘units’ itu.

Units itu pula dikelolakan sebuah bank persendirian di Singapura (BSI Bank).

Sebaik sahaja beliau memikul tugas menerangkan tentang 1MDB itu, saya bertemu Husni di sebuah hotel di Brickfields bersama seorang editor kanan sebuah akhbar bahasa Melayu.

Saya bertanya kepada Husni, kenapakah beliau pula yang bercakap tentang masalah 1MDB itu? Setahu saya 1MDB itu ada lembaga pengarahnya.

Husni cuma kata, beliau sahaja yang boleh bercakap tentang 1MDB mulai saat itu.

Arul Kanda selepas itu semakin jarang keluar beritanya. Kini kita tak dengar lagi tentangnya.

Pertemuan pertama Husni dengan media berakhir dengan kecelaruan. Dia gagal menerangkan apakah ‘units’ itu.

Apabila wartawan kami menulis berita tersebut, saya bertanya seorang pengarang kanan kami: “What exactly are these units? We have to explain to our readers what they are” (Apa sebenarnya units ini? Kita kena menjelaskan kepada pembaca apakah units itu).

Saya terpaksa bertanya demikian kerana tidak akan ada sesiapa yang akan percaya cerita tidak lengkap. Tambahan pula ketika itu akhbar kami sedang menghadapi krisis kepercayaan yang serius yang sedang menjejaskan jualan juga.

Tiada siapa akhirnya yang dapat menerangkan apa ‘units’ itu sebenarnya.

Kami cetak sahaja berita itu dan keesokkan harinya ramai yang menelefon saya mengecam berita yang tidak lengkap itu.

Husni juga akhirnya mengundurkan diri bukan sahaja sebagai jurucakap 1MDB, malahan dari jawatannya sendiri. Hingga hari ini dia tidak dapat menerangkan apakah ‘units’ tersebut.

Saya sendiri mengambil keputusan untuk meninggalkan akhbar tersebut. Sebaik sahaja saya berhenti, saya dihubungi salah seorang wartawan Wall Street Journal yang aktif menulis berita 1MDB itu.

Saya juga turut dihubungi Clare Rewcastle Brown, pengendali portal Sarawak Report di London itu. Tetapi saya tidak dapat angkat telefon pada masa itu.

Saya tidak menghubungi semula Clare Rewcastle Brown itu kerana saya tidak kenal dia, dan apa tujuannya menghubungi saya.

Kepada wartawan Wall Street Journal itu, saya katakan pada beliau yang saya rasa dia tahu lebih banyak tentang 1MDB itu daripada saya. Jadi tak perlulah tanya saya.

Saya cuma sahkan padanya yang saya telah meletakkan jawatan dan tidak akan menjawab apa pun tentang 1MDB itu.

Begitulah adanya. Hingga sekarang tidak ada siapa yang boleh ceritakan dengan lengkap tentang ‘units’ itu.

Pengkritik akan senyap

Terdahulu dalam kemas kini Facebooknya Mustapha Kamil juga menyentuh mengenai isu units yang dikaitkan dengan 1MDB – sebuah syarikat pelaburan milik penuh kerajaan Malaysia.

Katanya, sesiapa yang melabur dalam saham amanah, pihak pengurusannya akan menghantar laporan tahunan bagi memaklumkan nilai terkini saham berkenaan.

“Jika anda melabur dengan saham amanah lain seperti Public Mutual atau TA, anda selalu dapat statement (laporan kewangan).

“Mereka juga hantar penerangan tentang saham-saham amanah anda itu, (misalnya) di mana ia dilaburkan serta kadar-kadar risikonya,” kata Mustapha Kamil.

Laporan tahunan itu, katanya, tetap diserahkan walaupun nilai pelaburan seseorang itu kecil.

“Ini Brazen Sky anak syarikat 1MDB itu kata dia ada melabur AS$940 juta dalam ‘units’.

“Dulu dia kata custodian bank (untuk unit itu ialah) BSI Bank. Sekarang bank tu dah tutup.

“Apabila ditanya di parlimen lagi, kerajaan cuma jawab sekarang custodian bank ialah sebuah bank antarabangsa. Nama bank itu pun tak sebut,” katanya.

Justeru Mustapha Kamil mempersoalkan sama ada memang “units” berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen sama sekali.

“Kalau ada paparkanlah dan semua pengkritik akan senyap. Tapi ada ke?” katanya lagi.

– M’kini

.