APA MAKNA BILA JHO LOW DAN ERIC TAN KINI DIKENALPASTI ORANG YANG SAMA?

Najib Razak sebelum ini mendakwa wang AS$681  juta atau kira-kira RM2,600 juta yang diterimanya melalui akaun peribadi di Ambank adalah derma daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

WSJ dalam pendedahannya, bagaimanapun membuktikan bahawa wang itu disalurkan daripada akaun Tanore Finance, sebuah syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island dan dipunyai oleh Eric Tan.

Pemindahan wang tersebut dilakukan melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Najib menerima wang itu pada Mac 2013, kira-kira dua bulan sebelum pilihanraya umum 2013 diadakan.

Peguam Negara, Apandi Ali ketika membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkaitan penerimaan wang yang dikaitkan dengan 1MDB kemudian mengatakan sebahagian besar wang itu iaitu AS$620 juta telah dipulangkan kembali kepada pendermanya kerana ia tidak digunapakai.

Baiknya hati Najib…barangkali hanya beliau seorang di dunia ini yang pernah diberikan wang AS681 juta, tetapi kemudian memulangkannya kembali sebanyak AS$620 juta kerana ia tidak digunakan!!

Pengembalian wang itu berlaku pada 30 Ogos 2013, sama tarikh dengan akaun Najib di Ambank ditutup.

Sarawak Report dalam butirannya mendedahkan, wang itu sebenarnya dikembalikan kepada Tanore Finance iaitu syarikat yang sama yang memasukkan AS$681 juta kepada Najib sebelum itu.

Mudah kata, Najib dapat AS$681 juta daripada Tanore Finance dan AS$620 juta kemudian dikembalikan kepada Tanore Finance juga.

Itu cerita yang mula heboh sejak 2015 dahulu dan masih menjadi bualan hingga sekarang.

Dua hari lalu di mahkamah Singapura iaitu pada 11 Januari 2017, dalam kes perbicaraan bekas Pengurus Cawangan Falcon Private Bank negara itu, Jens Sturzenegger atas kesalahan berkaitan penggubahan wang haram, telah didedahkan bahawa Jho Low dan Eric Tan adalah orang yang sama.

Sturzenegger kini dihukum penjara 28 minggu dan didenda S$128,000 atas kesalahan yang dilakukannya.

Menurut Channel News Asia yang mendedahkan maklumat  perbicaraan itu, Jho Low turut memberitahu Sturzenegger bahawa beliau sesekali menggunakan nama Eric Tan untuk tujuan keselamatan.

Sturzenegger juga menyedari nama Eric Tan itu bukan sekadar nama samaran atau nama kedua, tetapi merupakan nama sebenar yang terdapat dalam pasport dengan beliau melihatnya sendiri ketika proses membuka akaun di Falcon Private Bank.

Bermakna, Jho Low paling mungkin mempunyai dua pasport, satu atas nama Jho Low dan satu lagi dengan nama Eric Tan.

Empat akaun dilaporkan telah dibuka di Falcon Private Bank atas pelbagai entiti korporat dengan Eric Tan dikenalpasti sebagai benefisiarinya atau pihak yang berhak terhadapnya.

Dua daripada akaun berkenaan, Tanore Finance dan Granton, telah menerima kemasukan wang sebanyak AS$1.265 juta pada Mac 2012.

Apakah yang paling mudah untuk difahami berkaitan maklumat ini yang kini merupakan dokumen mahkamah di Singapura?

Ia dengan sendirinya membuktikan bahawa AS$681 juta yang diterima Najib itu adalah daripada Jho Low dan pengembalian AS$620 juta kemudiannya adalah juga kepada Jho Low.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.